Kenyataan Zahid, Anwar sama: Ini satu lagi bukti pemimpin dikuasai PH - Annuar
Bekas Setiausaha Agung BN, Annuar Musa mendakwa Umno kini berada di bawah pengaruh ketua pembangkang, Anwar Ibrahim apabila kedua-dua gabungan parti itu mengeluarkan kenyataan yang sangat mirip semalam.
Annuar merujuk kepada kenyataan media berhubung desakan mengadakan sidang Parlimen ketika pengisytiharan darurat apabila kedua-dua kenyataan itu menyentuh mengenai keberkesanan membendung pandemik Covid-19, pelaksanaan Bajet 2021 dan pemulihan ekonomi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berlangsung.
“Viral di media sosial perihal kenyataan media pengerusi BN yang hampir sama dan bersifat copy and paste (salin dan tampal) kenyataan media Anwar Ibrahim.
“Ia satu lagi bukti pemimpin (BN) kini sudah dikuasai Pakatan Harapan (PH). Ini jelas membelakangi dasar parti tidak menyokong Anwar dan DAP.
“Selepas tersebar surat sokongan dan ikrar setia presiden Umno kepada Anwar yang disembah kepada Yang di-Pertuan Agong, kenyataan media ini merupakan satu lagi bukti pimpinan Umno kini berada di bawah pengaruh Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, poin-poin dalam kenyataan tersebut turut ditulis dalam turutan yang sama.
Malah, kedua-dua kenyataan media itu turut menggunakan pendekatan sama untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan petugas barisan hadapan di atas pengorbanan mereka membendung Covid-19.
Keputusan parti tak lagi dipatuhi
Semalam, melalui kenyataan media, Ahmad Zahid - atas kapasitinya selaku pengerusi BN - Agong menitahkan agar sidang parlimen diadakan segera.
Bagaimanapun MIC mendakwa kenyataan Zahid itu kurang tepat.
Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata dia terkejut dengan kenyataan itu dan mengatakan mesyuarat BN pada Rabu lalu memutuskan untuk tidak membuat sebarang andaian dengan titah Agong berhubung sidang parlimen.
Untuk rekod, hubungan antara Umno dan Bersatu yang dipimpin oleh presidennya, Muhyiddin Yassin kini bagaikan telur di hujung tanduk.
Keadaan ini bertambah keruh apabila Ahmad Zahid dalam sepucuk surat bertarikh 26 Feb menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN akan berakhir sebaik saja parlimen dibubarkan.
Bersatu pula malam tadi memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan.
Mengulas lanjut, Annuar berkata kenyataan Ahmad Zahid agar sidang parlimen diadakan dibuat kira-kira 24 jam selepas Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya memutuskan sekali lagi mereka mengekalkan dasar tidak menyokong atau bersama PKR dan DAP.
Annuar berkata, hal itu jelas menunjukkan segala keputusan Umno tidak lagi dipatuhi, sebaliknya parti itu hanya cuba terus untuk menjayakan agenda peribadi pemimpin tertentu.
“Ahli dan akar umbi dipersendakan pemimpin. Hasrat ahli ingin melihat semangat kesatuan parti-parti berteraskan perpaduan Melayu semakin kabur.
“Peranan Umno memperkasa muafakat bersama PAS semakin renggang - sedikit demi sedikit Umno diheret ke arah Anwar dan DAP.
“Kita semakin jauh dari aspirasi rakyat, terutama orang Melayu dan umat Islam,” katanya.
Pada masa sama, dia turut mengulangi pendiriannya kepada keputusan parti untuk tidak menyokong Anwar dan tidak bersama DAP.
“Saya masih utuh mendukung setiap ayat dalam piagam Muafakat Nasional dan nota persefahaman Umno-PAS yang saya turut terlibat menggubal dan membuat pengisytiharannya,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai