Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak Zahid tiada jawatan dalam Yayasan Akalbudi - Saksi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Fazli Zulkifli memberitahu mahkamah bahawa anak sulung Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah, tidak mempunyai apa-apa jawatan pun dalam Yayasan Akalbudi.

Fazli merupakan pegawai penyiasat SPRM yang menyiasat penglibatan Ahmad Zahid dalam pengubahan wang haram berkaitan pembelian sijil simpanan tetap dan saham Syarikat Ri-Yaz Assets Sdn Bhd (Ri-Yaz Assets) berjumlah RM17,953,185.21.

Dia memberitahu hal itu semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, sebagai saksi ke-93 perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan Ahmad Zahid.

Ahmad Sazilee: Adakah anda siasat sama ada Datuk Nurulhidayah ada apa-apa jawatan dalam Yayasan Akalbudi?

Fazli: Saya sahkan tiada.

Yayasan Akalbudi dimiliki Ahmad Zahid, dan dia merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal yayasan berkenaan.

Berdasarkan keterangan bekas pengerusi Exim Bank, Mat Noor Nawi sebelum ini, pada Mei 2016, Ahmad Zahid memaklumkan kepadanya bahawa Nurulhidayah berminat mengambil alih 60 peratus saham Ri-Yaz Assets daripada bekas pengarahnya, Abdul Rashid Abdul Manaf.

Mat Noor ketika itu memberi keterangan Ahmad Zahid sanggup mendahulukan bayaran tunggakan hutang AS$2.058 juta (RM8,602,920) ditanggung syarikat itu kepada Exim Bank.

Fazli pada hari ini mengesahkan kepada mahkamah bahawa Nurulhidayah sempat menjadi pengarah Ri-Yaz Assets selama empat hari, dari 27 Jan 2017 hingga 31 Jan 2017, sebelum meletakkan jawatan apabila urusan jual beli saham itu tidak diteruskan.

Sebelum ini, pasukan pembelaan cuba mencadangkan bahawa Nurulhidayah dicadang menjadi pengarah Ri-Yaz Assets sebagai wakil Yayasan Akalbudi dan bayaran lebih RM8 juta kepada Ri-Yaz Assets itu merupakan suatu “pelaburan” yayasan.

Bagaimanapun, apabila disoal Ahmad Sazilee tadi, Fazli berkata Nurulhidayah bukan wakil atau proksi mana-mana yayasan.

Ahmad Sazilee: Ada tak di dalam mana-mana terma perjanjian (jual beli saham Ri-Yaz Assets) mengatakan Datuk Nurulhidayah sebagai wakil atau proksi yayasan?

Fazli: Saya sahkan tiada.

Ahmad Sazilee: Mana-mana yayasan?

Fazli: Ya.

Pada perbicaraan hari ini, Fazli menyediakan satu carta bagi menunjukkan kepada mahkamah aliran wang yang terlibat antara Yayasan Akalbudi, Lewis & Co, Ri-Yaz Assets dan Exim Bank serta pertukaran ke simpanan tetap.

Sepanjang perbicaraan, pasukan pembelaan mencadangkan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, namun ia dinafikan oleh kedua-dua rakan kongsi Lewis & Co yang hadir sebagai saksi Ogos tahun lalu.

Berdasarkan pernyataan saksi Fazli dan carta aliran wangnya, sebanyak hampir RM18 juta dikeluarkan daripada akaun Yayasan Akalbudi ke akaun Lewis & Co, dengan lebih RM8 juta diberikan kepada Ri-Yaz Assets untuk urusan jual beli saham antara Rashid dan Nurulhidayah.

Pecahan lebih terperinci

Bagaimanapun, Ri-Yaz Assets mengembalikan wang itu kepada Lewis & Co kerana urusan jual beli saham itu tidak menjadi kenyataan.

Menurut carta aliran itu, kesemua wang hampir RM18 juta itu ditukarkan kepada simpanan tetap.

Secara lebih terperinci, berdasarkan keterangan Fazli, sebanyak RM17,953,185.21 wang dikeluarkan daripada akaun bank Yayasan Akalbudi kepada akaun bank Tetuan Lewis & Co pada 23 Jun 2016, mengikut arahan Ahmad Zahid.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM8,602,920 kemudiannya dikeluarkan daripada akaun bank Lewis & Co dan dibayar kepada Ri-Yaz Assets dalam bentuk cek, bagi tujuan pembayaran deposit pembelian saham 60 peratus milik Rashid oleh Nurulhidayah.

Baki RM9,350,265.21 (yang tinggal daripada RM17.9 juta) dalam akaun bank Lewis & Co pula, diarahkan Ahmad Zahid untuk didepositkan ke akaun simpanan tetap pada Julai 2016.

Bagaimanapun, ekoran perbezaan tukaran wang RM kepada AS$ ketika itu, maka Ri-Yaz Assets hanya membayar RM8,348,040.90 (nilai AS$2.058 juta ketika bayaran dibuat) kepada Exim Bank, manakala baki berjumlah RM254,879.10 dipulangkan kembali kepada Lewis & Co melalui cek bertarikh 15 Julai 2016.

Tambahnya, wang RM254,879.10 yang dipulangkan kepada Lewis & Co itu, bersama dengan 24 cek daripada syarikat dan individu lain, akhirnya digunakan untuk membeli simpanan tetap bernilai lebih RM5.46 juta pada Julai 2016.

Sementara itu, wang RM8,348,040.90 yang dikembalikan kemudiannya kepada Lewis & Co, turut didepositkan sebagai simpanan tetap pada Mei 2017.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan wang haram, dia dituduh menerima cek bernilai puluhan juta daripada pelbagai pihak menerusi Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu digunakan untuk penempatan simpanan tetap bawah nama firma berkenaan.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Dalam pertuduhan pecah amanah pula, Zahid dituduh menyeleweng RM31 juta dana Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan yang masuk hari ke-47 di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu akan bersambung Isnin.