Vaksin: Hampir 3 juta telah daftar di Mysejahtera
Seramai 2,990,577 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera setakat pukul lapan pagi ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdulllah menerusi infografik di Twitter rasminya pagi ini memaklumkan sejak pendaftaran vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dibuka pada 24 Feb lepas, Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi seramai 991,181.
Ia diikuti dengan Johor dengan 335,537 individu, Kuala Lumpur (292,983) dan Sarawak (240,630).
Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan seramai 127,608 telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di seluruh negara, setakat 6 Mac.
Memperincikan pecahan jumlah penerima vaksin dos pertama tertinggi mengikut negeri, Sarawak mencatatkan 18,034 penerima, diikuti Pahang (13,830), Selangor (11,982) dan Kuala Lumpur seramai 11,266.
Pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera merupakan antara lima kaedah pendaftaran yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.
Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian ialah melalui laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir di fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai