Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan terbabit agar liputan 5G lebih luas, murah - Saifuddin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Keputusan kerajaan untuk meletakkan pelaksanaan pelancaran internet 5G di bawah syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan dapat memberi manfaat kepada rakyat melalui sekurang-kurangnya tiga cara, dakwa Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Katanya, tiga manfaat tersebut ialah perkhidmatan yang lebih pantas, kadar liputan lebih luas, dan harga yang lebih murah.

Bercakap kepada pemberita dalam satu wawancara bersama pada Rabu lalu, kata Saifuddin, rancangan pelancaran 5G itu kini setahun lebih awal daripada jadual asal, iaitu pada hujung tahun ini berbanding hujung 2022.

“Keduanya, kita boleh masuk ke kawasan-kawasan yang tidak mahu dimasuki (oleh syarikat telekomunikasi), yang merupakan salah satu masalah (buat kita) untuk mencapai liputan 4G 100 peratus.

“Saya tak salahkan telko (syarikat telekomunikasi), mereka berasaskan keuntungan… tetapi memandangkan infrasktruktur 5G ini bakal dibina oleh SPV, kalau pun ia tidak membuat keuntungan, ia tetap akan dibina juga,” katanya.

Berkenaan harga pula, kata Saifuddin, memandangkan telko hanya akan menyewa daripada infrastruktur kerajaan dan tidak perlu melaburkan wang untuk membangunkannya, ia akan menjadi lebih murah.

“Berapa pun cajnya, ia akan menjadi lebih murah,” kata Saifuddin lagi.

SPV yang dikenali sebagai Digital Nasional Bhd (DNB) itu akan mendapat peruntukan RM15 bilion yang digunakan untuk pelaksanaan perkhidmatan telekomunikasi 5G dalam tempoh 10 tahun.

DNB akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. 

Firma Fitch Solutions sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku kurang ketelusan dalam SPV akan menjejaskan kadar pelancarannya.

Ia juga menyatakan kebimbangan lain seperti kos yang lebih tinggi. 

“Tanggapan rasuah dalam kalangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut boleh menjejaskan potehttps://www.malaysiakini.com/news/565660nsi pelancaran 5G,” kata cabang penyelidikan agensi penarafan kredit Fitch Group itu.

Kata agensi itu lagi, kurangnya penglibatan sektor swasta mengundang kebimbangan mengenai kontrak itu yang mungkin tidak mengikut proses tender terbuka.

Bagaimanapun, Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata, SPV terbabit akan membolehkan pengedaran kapasiti 5G kepada telko dalam cara yang lebih telus dan adil. 

[Baca laporan asal]