Skip to main
Logo Malaysiakini

Kempen 'Kakak Juga Pekerja' tuntut hak amah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kumpulan yang memperjuangkan hak pembantu rumah sebagai pekerjaan formal bawah Akta Kerja 1955 telah melancarkan kempen "Kakak Juga Pekerja" sempena Hari Wanita Antarabangsa 2021.

Gabungan NGO Tenaganita, Persatuan Sahabat Wanita Selangor dan Empower Malaysia mendesak kerajaan supaya meminda Jadual Pertama Akta Kerja 1955 untuk menghapuskan diskriminasi terang-terangan terhadap pekerja pembantu rumah, pekerjaan yang hampir dikuasai secara eksklusif oleh wanita.

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene A Das berkata, desakan untuk mengeluarkan Subseksyen 2 (1) (5) Jadual Pertama akan mempengaruhi kira-kira 200,000 pekerja pembantu rumah, yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pekerja asing, serta pendatang tanpa dokumen yang masih bekerja di sini.

Bawah undang-undang semasa, pekerja pembantu rumah disenaraikan sebagai pengecualian kepada pekerja yang diberi hak, daripada hak paling asas seperti jam kerja, hari rehat, syarat perkhidmatan dan juga faedah bersalin.

"Kami, yang bertandatangan di bawah ini, menginginkan undang-undang yang mencerminkan prinsip kerja yang layak dengan penekanan pada berdasarkan hak tanpa diskriminasi gender.

"Ini bukan amalan kolonial hubungan pekerjaan berdasarkan darjat, untuk mengiktiraf martabat pekerja pembantu rumah sebagai manusia yang berhak mendapat hak dan penghormatan," kata NGO berkenaan pada satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pelancaran kempen dalam talian hari ini.

Gabungan NGO wanita ini juga menggesa kerajaan melakukan dua pindaan lain bekaitan undang-undang pekerjaan.

Kata mereka, ini supaya semua pekerja pembantu rumah diberikan hak yang sama tanpa mengira status dan jantina mereka dan juga untuk menggantikan klasifikasi "pelayan" yang digunakan untuk mentakrifkan pembantu rumah, dengan perkataan "pekerja".

Meterai konvensyen ILO

Pada masa sama, mereka juga meminta kerajaan untuk memeterai Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai pekerja pembantu rumah serta Konvensyen ILO tentang keganasan dan gangguan.

Jelasnya, ini untuk memberikan perlindungan dan mengiktiraf hak-hak pekerja pembantu rumah.

Sementara itu, wakil Tenaganita Joseph Paul Maliamauv memetik kisah Nona (bukan nama sebenarnya), seorang pekerja tanpa dokumen yang melarikan diri daripada majikannya yang 'bersalah' (errant) dan telah meminta perlindungan di tempat perlindungan organisasi itu pada 2017.

Tenaganita telah membantu Nona untuk menuntut gaji lebih RM30,000 tetapi percubaan awal mereka untuk memfailkan kes di Mahkamah Buruh Pelabuhan Klang ditolak pada bulan Ogos 2018, kerana status pekerja itu yang tidak berdokumen.

Setahun kemudian, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Azizah Nawawi, yang mengetuai rayuan Tenaganita, memutuskan Mahkamah Buruh telah bertindak pramatang untuk menolak tuntutan Nona terhadap majikannya, yang dikenal pasti oleh dokumen mahkamah sebagai Angee Lee.

Dia juga memutuskan Mahkamah Buruh mesti mendengar kes pekerja yang tidak berdokumen.

Joseph Paul hari ini berkata majikan Nona telah memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi itu.

"Jika rayuan majikan di Mahkamah Rayuan ditolak, maka Nona dapat kembali ke Mahkamah Buruh, walaupun tentu saja tidak ada jaminan dia akan menang.

"Sebaliknya, jika rayuan itu diterima, itu akan menjadi penghujung jalan bagi Nona," katanya.

Nona sebelum ini berkata dia dibayar RM550 sebulan selama lebih dari empat tahun sehingga 2017.

Jumlah itu lebih rendah daripada jumlah yang dijanjikan oleh ejen, iaitu RM700 sebelum dia berlepas dari Nusa Tenggara Timur, Indonesia, sebuah wilayah yang mencatat jumlah korban pemerdagangan manusia yang tinggi dan kematian di kalangan pekerja yang dihantar ke Malaysia.

Malaysiakini difahamkan bahawa rayuan itu akan didengar pada Oktober tahun ini.

[Baca laporan asal]