Usaha lemahkan Umno melalui 'pisau, pen dan buku cek' - Asyraf
Sejak Umno hilang kuasa pada Mei 2018, pelbagai usaha dibuat untuk melemahkan dan menghancurkan parti itu dengan menggunakan pelbagai cara dari luar dan dalam, kata Ketua Pemudanya, Asyraf Wajdi Dusuki.
Kata Asyraf, usaha untuk mengharamkan Umno bermula seawal 2018 dengan mengeksploitasi 16 orang bekas ahlinya atas alasan Umno melanggar perlembagaannya kerana menangguhkan pemilihan parti.
"Hakikatnya, ramai pemimpin-pemimpin Umno diugut, ditekan dan digasak dengan menggunakan pelbagai agensi-agensi di bawah kerajaan PH (Pakatan Harapan) waktu itu.
"Usaha melemahkan Umno masih berterusan sehinggalah ke saat ini termasuk menggunakan pendekatan ‘pisau, pen dan buku cek’ bagi memecah-belahkan Umno melalui juak-juak dalaman sendiri mengikut perencanaan 'scheme of thing’," katanya menerusi catatan di Facebook.
Tidak jelas apa yang dimaksudkan Asyraf namun pemimpin Umno itu pada Januari lalu mendakwa Bersatu membayar sehingga RM100 kepada setiap ahli Umno yang menyertai parti itu, malah cawangan yang ditubuhkan pula diberi peruntukan RM3,000 hingga RM5,000.
Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Asyraf.
Semalam Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata ada pihak yang cuba mengawal Umno setelah gagal menghancurkan parti itu.
Untuk rekod hubungan antara kedua-dua parti itu semakin keruh selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu menjelang PRU ke-15.
Ini memaksa Bersatu menyatakan pendirian untuk fokus dengan gerak kerja bersama rakan-rakan komponennya dalam Perikatan Nasional (PN) selain Umno.
Bagaimanapun, Umno Perlis dan Sabah baru-baru ini menyatakan akan meneruskan kerjasama dalam PN.
Bekas Setiausaha Agung BN, Annuar Musa pula membayangkan lebih banyak lagi Umno peringkat bahagian dan negeri akan mengambil pendirian serupa, sekali gus mencerminkan perpecahan yang berlaku dalam Umno kini.
'Cuak, gelabah, tidak tahan uji'
Menurut Asyraf, ahli-ahli Umno yang punya ketahanan terus kekal setia mempertahankan parti biarpun menjadi 'lilin membakar diri'.
"Namun, tidak kurang juga yang cuak, gelabah dan tidak tahan diuji, lantas keluar meninggalkan parti.
"Tergamak pula menikam parti yang pernah mengangkat dan meletakkan mereka di posisi tertinggi lagi dihormati.
"Ironinya, mereka yang terpalit ini tiba-tiba terus disucikan dan tidak lagi kedengaran khabar sebarang tindakan mahupun pendakwaan," katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut.
Bagaimanapun katanya, Umno masih dipelihara Allah kerana terus bertahan dan tetap utuh hingga saat ini.
"Kekuatan dan keutuhan sebenar Umno terletak kepada keikhlasan akar umbi.
"Ya, jangan salahkan parti Umno. Tetapi angkara segelintir pemimpin dan ahli yang lupa diri, lupa daratan dan lupa akar perjuangan, akhirnya Tuhan takdirkan Umno diuji hilang kuasa.
"Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kini setiap warga pejuang Umno tidak boleh lagi melakukan kesilapan yang sama," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai