'Majoriti akar umbi kecewa tak bermakna AMK tolak Shazni'
Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Thiban Subramaniam berkata majoriti akar umbi ahli mereka yang kecewa dengan pelantikan Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin sebagai Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang baru.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna mereka menolak keputusan yang dibuat Majlis Pimpinan Pusat PH.
"Selepas Langkah Sheraton, kami pemuda PH membuat satu mesyuarat tergempar di Hotel Eastin. Dalam mesyuarat itu, kami pemuda PH bersetuju melantik (Ketua Pemuda PKR) Akmal Nasir sebagai ketua Pemuda (PH) yang baru.
"Tetapi, ia tidak dapat dilaksanakan selepas bekas ketua pemuda Amanah Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim keluar PH dan kami tidak membuat mesyuarat akibat pandemik Covid-19.
"Tapi, baru-baru ini majlis pimpinan PH mengambil keputusan melantik Shazni sebagai ketua Pemuda PH yang baru menyebabkan ada di kalangan AMK sedikit kecewa.
"Namun, ia bukan bermakna kami menolak Shazni. Kami sebagai anggota AMK menyokong penuh sebarang keputusan majlis pimpinan pusat PH dipengerusikan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa sayap pemuda PKR tidak puas hati dengan pelantikan Shazni.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa pelantikan Shazni pada 4 Mac menerima tentangan daripada sebilangan pemuda PKR.
Pelantikan itu juga dibuat meskipun terdapat memo daripada ahli AMK yang menyokong ketuanya, Akmal untuk memegang jawatan tersebut.
Menurut memo terbabit, yang dilihat Malaysiakini, AMK menyatakan Akmal seharusnya dilantik ke jawatan itu memandangkan sayap parti itu memiliki kekuatan jentera akar umbi.
Selain kredibiliti akademik, AMK berkata kedudukan Akmal sebagai ahli parlimen juga menyebabkan dia mempunyai kelebihan berbanding calon-calon lain.
Bagaimanapun, Thiban berkata bahawa apa yang lebih penting adalah PH perlu bergerak ke hadapan.
"Fokus utama pemuda PH buat masa ini adalah 'Undi 18'.
"Kami pemuda PKR, DAP dan Amanah akan bekerjasama menekan kerajaan untuk melaksanakan 'Undi 18," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai