Skip to main
Logo Malaysiakini

'Sebaik gelombang ketiga tiba, katil penuh begitu pantas'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Sejak kes pertama Covid-19 dikesan di Malaysia pada akhir Januari 2020, negara kita menghadapi gelombang kes yang berbeza - ada masanya bilangan kes dan kematian tiba-tiba melonjak sebaik selepas keadaan tampak reda.

Selepas tempoh perlahan antara Jun dan Ogos tahun lalu, gelombang ketiga pun tiba. Jangkitan menular dengan pantas dan meluas.

Pengarah Hospital Sungai Buloh (HSB) Dr Kuldip Kaur mendedahkan betapa kemudahan rawatan Covid-19 utama negara juga tetap "terkejut" apabila gelombang ketiga bermula pada September 2020.

"Setakat ini gelombang ketiga yang paling mencabar. Sekejap saja katil-katil kami penuh.

"Bukan sekadar katil di hospital saja, begitu juga dengan wad tambahan yang dibuka di Pusat Kawalan Kusta Negara dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Sungai Buloh," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Wawancara ini sempena setahun wabak Covid-19 tiba di Malaysia.

HSB yang menjadi pusat rawatan utama untuk merawat Covid-19 memiliki kira-kira 1,800 katil yang diperuntukkan khas untuk merawat pesakit wabak itu.

86 peratus kes dari gelombang ketiga

Untuk menunjukkan besarnya kesan gelombang ketiga ini - sehingga 3 Mac 2021, HSB menerima 48,620 kes positif.

Daripada jumlah itu, 41,829 kes atau 86 peratus dilaporkan ketika gelombang ketiga sahaja.

Pada gelombang pertama, hanya 159 pesakit yang dirawat di sana. Kebanyakannya mereka yang ada sejarah perjalanan di negara berisiko tinggi wabak itu.

Gelombang kedua pula dikaitkan dengan perhimpunan agama pada akhir Februari, yang menyaksikan 6,632 pesakit dihantar ke Sungai Buloh.

Menurut Kuldip, ketika gelombang ketiga, sejumlah besar kes datang dengan waktu yang singkat. Selain itu, hospital itu turut berdepan satu lagi cabaran besar - lebih banyak kes ketika itu melibatkan mereka yang mengalami komorbiditi.

"Jumlah kes besar dan ia sebaik saja gelombang ketiga bermula. Tetapi di peringkat awal, profil (kes) adalah agak muda.

"Ketika pertengahan November, profil berubah dengan lebih banyak kes komorbiditi dan kes yang sudah bergejala. Dan kita mula terima lebih banyak kes yang sudah menunjukkan gejala.

"Ketika itu, hospital lain masih lagi kemudahan hibrid, iaitu mereka turut merawat pesakit bukan Covid-19. Tetapi kita memerlukan lebih banyak katil ICU," katanya lagi.

Menguruskan sumber manusia

Ia memberi satu lagi cabaran kepada HSB. Menurut Kuldip, sementara mereka ada peralatan yang cukup untuk meningkatkan kapasiti hospital, aspek pengurusan keperluan sumber manusia lebih mencabar.

Ia terutama di wad ICU yang menggunapakai nisbah standard pekerja kesihatan yang diperlukan untuk merawat setiap pesakit. Misalnya, seorang pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan perlu penjagaan seorang kakitangan secara khusus.

"Kita perlukan lebih ramai kakitangan terlatih untuk menyediakan lebih banyak katil. Sehinggar hari ini, kita boleh sedia sehinga kira-kira 60 katil ICU.

"Kita sasar untuk sediakan lebih lagi sebab kita ada kapasiti dari segi peralatan, apa yang kita perlukan adalah kakitangan terlatih. Ini bermakna kita bukan sekadar perlu tambahan kakitangan, tetapi kita perlu doktor dan jururawat yang terlatih dalam penjagaan ICU," katanya.

130 korban sebelum gelombang ketiga

Menurut statistik harian Kementerian Kesihatan (KKM), ketika gelombang ketiga bermula September lalu, jumlah kes positif hanyalah 10,219 kes, dengan 130 kematian (perangkaan setakat 20 September 2020).

Bagaimanapun setakat semalam (8 Mac), angka itu meningkat kepada 314,989 kes dan 1,177 kematian.

Ketika gelombang ketiga, keadaan begitu teruk sehingga Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada Januari mengisytiharkan sistem penjagaan kesihatan berada di "tahap genting".

"Semua orang sedang melakukan yang terbaik, dan ini waktu yang mencabar jika dibandingkan dengan gelombang kedua. Kita masih melihat jumlah kes yang tinggi, masih lagi empat angka," kata Kuldip.

Ada kakitangan perlu dilatih semula

Berbanding dua gelombang penularan sebelumnya, Kuldip berkata keadaan berbeza dari segi masa dan bantuan luar yang diterima HSB.

Ketika gelombang pertama, yang bermula ketika empat sekeluarga dari Wuhan, China disahkan positif pada 25 Januari 2020, kes-kes tidak dikenal pasti secara mendadak.

Dr Kuldip Kaur

Gelombang itu melibatkan terutamanya mereka yang ada sejarah perjalanan dan menunjukkan simptom coronavirus. HSB pada mulanya membuka dua wad pengasingan dengan masing-masing 28 katil, sebelum menambah dua lagi di aras sama apabila lebih banyak kes dihantar ke sana.

Menurut Kuldip, kira-kira 100 katil di empat wad pengasingan itu penuh selepas kira-kira sebulan kes pertama dimasukkan di sana.

"Kita menganggapnya sebagai gelombang pertama kerana pada masa itu, lebih banyak kes dirawat, sama ada pesakit dalam pemantauan dan dalam siasatan, dan kita terus sediakan dua lagi wad untuk kes-kes ini.

"Jadi selepas itu, kita mula buat persediaan untuk terima lebih ramai pesakit. Kita adakan mesyuarat ketua jabatan. Dari situ, kita rancang tindakan seterusnya, tentang apa tindakan kita jika lebih banyak wad diperlukan.

"Pada mulanya, kita fikir mungkin tak perlu guna lebih dari satu aras. Dan kemudian wad kedua dibuka, kemudian ketiga dan keempat dan seterusnya. Selepas itu, seluruh aras (untuk kes Covid-19)," katanya lagi.

Menjelang Mac 2020, HSB mula melihat jumlah kes baru meningkat lebih cepat. Tapi pada tahap itu, mereka sudah pun membuat persediaan menghadapi gelombang kedua.

Gelombang itu sebahagian besarnya berkaitan perhimpunan agama di Sri Petaling, Kuala Lumpur, yang diadakan antara 27 Februari hingga 3 Mac 2020.

Perhimpunan itu membawa kepada antara kluster terbesar, iaitu kluster Sri Petaling, yang mencatatkan 3,375 kes positif dan 34 kematian. Ia diisytihar tamat pada 8 Julai 2020.

Menurut Kuldip, antara Jan hingga Mac 2020, HSB terpaksa mengurangkan kes separa kecemasan dan elektif untuk menerima lebih banyak kes Covid-19.

Pesakit bukan Covid-19 yang dirawat dipindahkan di hospital berdekatan/

Dengan pengurangan rawatan penyakit lain, hospital itu kemudian menarik tenaga kerja daripada unit kawalan penyakit tidak berjangkit untuk bersama-sama melawan wabak itu.

"Tiada pilihan lain. Mereka perlu dilatih semula (untuk bekerja di wad penyakit berjangkit). Kita perlu beri mereka kesedaran, latih mereka tentang protokol peralatan perlindungan peribadi (PPE), dan juga menyediakan mereka dari segi mental.

"Dan saya perlu kata yang ketika gelombang kedua, memandangkan kita adalah hospital utama, kita menerima banyak bantuan kerana ramai tenaga kerja yang digunakan. Kita terima banyak bantuan daripada hospital lain di seluruh negara," katanya.

Dia juga menyuarakan penghargaan kepada orang perseorangan dan NGO yang membantu HSB dalam melawan pandemik ini, terutama di peringkat awal ketika kemudahan perubatan seluruh negara berdepan kekurangan sumber, terutama PPE.

"Sumber terbatas tetapi kami beruntung kerana begitu ramai yang baik hati. Selain KKM yang membekalkan PPE, ada juga orang perseorangan dan NGO yang beri sumbangan.

"Begitu juga dengan sukarela yang datang untuk buat PPE," katanya lagi.

Sokongan positif inilah yang terus menguatkan petugas barisan depan dalam melawan pandemik ini.

[Baca berita asal]