Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah benarkan 114 warga Myanmar tinggal di M'sia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai 114 orang pencari suaka Myanmar di Malaysia mendapat perlindungan daripada mahkamah untuk tidak dihantar pulang ke tanah air mereka yang sedang bergolak.

Amnesty International dan satu lagi kumpulan hak asasi manusia hari ini berjaya memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan tindakan undang-undang bagi mengelakkan pelarian berkenaan dihantar pulang ke Myanmar.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh dua kumpulan itu terhadap ketua pengarah Imigresen dan kerajaan Malaysia.

Seramai 114 pelarian Myanmar, yang pada awalnya memperoleh perintah sementara dari mahkamah bagi mencegah pengusiran mereka sementara menunggu permohonan kebenaran semakan kehakiman, kini mendapat perintah lanjutan yang melindungi mereka daripada dihantar pulang.

Pada 24 Februari, Jabatan Imigresen mengusir 1,086 pelarian Myanmar walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan kerajaan menangguhkan sementara pelaksanaannya.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh untuk mendengar penghujahan dari pihak-pihak berkaitan mengenai permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Ketika dihubungi hari ini, peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili Amnesty International dan Asylum Access Malaysia, mengesahkan bahawa mereka telah memperoleh kebenaran daripada mahkamah.

"Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada Asylum Access Malaysia dan Amnesty International Malaysia untuk meneruskan semakan kehakiman mereka.

"Hakim Mariana Yahya juga membenarkan penangguhan (lanjut) terhadap Ketua Pengarah Imigresen dan Menteri Dalam Negeri daripada menghantar pulang baki 114 warga Myanmar sehingga keputusan semakan kehakiman," katanya.

Berhubung sebab keputusan itu, peguam itu menjelaskan yang hakim menolak hujah Pejabat Peguam Negara (AGC) yang dua kumpulan hak asasi itu kurang locus standi untuk memfailkan semakan tersebut.

"Mahkamah berpandangan NGO memainkan peranan penting dalam masyarakat untuk memperjuang hak golongan rentan.

"Mahkamah maklum yang kita kini hidup dalam masyarakat yang lebih liberal, di mana konsep kebertanggungjawaban dan ketelusan adalah salah satu unsurnya," kata Lim.

Katanya lagi, mahkamah turut menolak hujah AGC bahawa keputusan dua responden itu kebal daripada semakan kehakiman susulan klausa dalam Seksyen 59A Akta Imigresen 1959.

Seksyen itu menyatakan keputusan Ketua Pengarah Imigresen dan Menteri Dalam Negeri hanya tertakluk kepada semakan kehakiman jika ia melibatkan soal pematuhan prosedur.

Katanya lagi, mahkamah memutuskan yang permohonan semakan kehakiman itu perlu didengar sepenuhnya.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes bagi semakan kehakiman itu pada 23 Mac ini.

[Baca berita asal]