Skip to main
Logo Malaysiakini

Perbezaan jurang - pendapat wanita Malaysia rentas generasi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selama 12 bulan kebelakangan ini menyaksikan penularan pandemik Covid-19 dengan pelbagai sekatan pergerakan dikenakan.

Dari satu aspek ia menunjukkan lagi pentingnya peranan yang dimainkan oleh golongan wanita dalam berhadapan pandemik ini.

Keperluan untuk menyesuaikan diri dan menerapkan norma-norma baru, sambil mengekalkan peranan tradisional, memerlukan sokongan dan kekuatan wanita yang luar biasa.

Malaysiakini bercakap dengan anggota empat keluarga yang berkongsi apakah yang dimaksudkan dengan menjadi wanita pada tahun 2021 - dari perspektif seorang moyang, nenek, ibu, anak perempuan, cucu perempuan, cicit perempuan - dan apa erti hak wanita bagi mereka.

Khairun Nisa Zabidi, seorang ibu tunggal dengan dua anak kecil mengatur masa bersama keluarganya di sela-sela pekerjaannya dalam bidang diplomasi perubahan iklim di United Kingdom. 

Kelulusan UK berusia 35 tahun ini meluangkan waktu sejenak untuk bercakap dengan ibu, Juariah Johari, 63, dan anak perempuannya, Aria Conrad yang berusia tujuh tahun:

Apa maksudnya menjadi wanita pada tahun 2021?

JUARIAH: Sekiranya diberi peluang yang sama dengan lelaki, saya senang menerimanya. Tetapi dengan didikan yang saya peroleh dari ibu bapa saya, semua yang saya lakukan adalah mengikut garis panduan Islam.

KHAIRUN NISA: Menjadi seorang wanita pada tahun 2021 mengajar saya mengenai agihan tugasan dalam rumah tangga, yang sangat jelas bagi saya sebagai ibu tunggal yang bekerja sepenuh masa dan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga anak-anak saya. Sangat jelas wanita masih memikul sebahagian besar tanggungjawab itu.

ARIA: Saya merasa cantik, saya rasa dihargai, saya gembira, saya merasa seperti saya ada peranan di dunia ini, dan saya bersyukur kerana Tuhan membawa saya ke sini. Oleh itu, saya bersyukur untuk semua ini. Saya sentiasa bersyukur kepada Tuhan.

Apa hak wanita bagi anda?

JUARIAH: Mengagumkan apabila semua hak wanita dinyatakan dalam al-Quran seperti yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Tetapi tidak semuanya diikuti oleh banyak orang atau mereka menafsirkan hukum untuk menguntungkan mereka.

KHAIRUN NISA: Perlu sedar dan hargai bahawa wanita masih memikul sebahagian besar beban dan adalah sangat penting jika kita ingin memiliki kesetaraan dan menghubungkannya dengan peranan wanita tahun ini.

Itu diterjemahkan dalam beberapa kisah luar biasa yang kita lihat di negara-negara yang dipimpin wanita, yang jauh lebih baik ketika berlaku pandemik berbanding yang dipimpin lelaki. 

Saya merasa itu sangat menarik kerana kemampuan wanita untuk menggunakan kekuatan mereka adalah peluang bagi dunia mendapat manfaat daripada kuasa kewanitaan.

Saya fikir keseimbangan di lapangan akan memberikan kebaikan bukan sahaja kepada wanita tetapi juga komuniti dan masyarakat secara keseluruhan.

Itulah maksud hak wanita bagi saya.

ARIA: Saya suka menjadi seorang gadis. Baik, hanya beberapa bahagian yang saya tidak suka. Bab melahirkan! Bukan saya dilahirkan, tetapi saya melahirkan ... Ibu saya kata sukar untuk menjaga anak-anak, tetapi saya perlu ada dua anak...supaya seorang anak boleh bermain dengan anak yang lain.

Tetapi kadang-kadang yang lebih tua akan buli adiknya.

Itulah yang dilakukan oleh abang saya kepada saya. Ketika ibu saya tak ada, ketika kami berada di rumah datuk dan nenek dia banyak buli saya. Tetapi saya boleh pertahankan diri saya dengan berani.

Ahli akademik Gayatri Unsworth, 40, baru-baru ini kembali ke kampus sebagai ketua sebuah fakulti setelah menghabiskan berbulan-bulan bekerja dari rumah dan meluangkan masa bersama anak perempuannya Jasmin, 11, Chelsea, 8 - suami James Robert Unsworth, dan anjing mereka.

Semasa wabak Covid-19, sekatan perjalanan antara negeri memisahkannya dengan ibunya yang berusia 61 tahun Rajeswari Thanapalasingam, dan nenek Jayakumari Ramasamy, 81 tahun.

Apa maksudnya menjadi wanita pada tahun 2021?

JAYAKUMARI: Menjadi seorang wanita pada tahun 2021 bererti kita sekarang hidup pada masa di mana kita harus maju dalam hidup dan belajar cara baru dan perkara baru.

RAJESWARI: Saya berusia awal enam puluhan. Saya mempunyai empat peranan - anak, ibu, isteri, nenek. Bagi saya dapat hidup pada era ini adalah anugerah. Ini adalah masa di mana wanita mempunyai keberanian dan melepasi sempadan tradisional.

Tetapi walaupun kita telah maju dengan pesat dalam setiap aspek kehidupan, kita tetap setia kepada peranan tradisional sebagai ibu dan pengasuh.

Banyak kali saya berharap dilahirkan beberapa dekad lebih lambat. Teknologi terutamanya mengejutkan saya. Ia adalah dunia penuh kreativiti yang terletak di hujung jari.

Menjadi wanita dalam bidang teknologi adalah apa yang saya cita-citakan. Dan 2021 memberi wanita banyak peluang seperti itu. Masih belum terlambat tetapi usia memang membawa keterbatasan.

GAYATRI: Menjadi wanita pada tahun 2021 bermaksud peluang dan kemungkinan yang begitu luas, dan dunia yang penuh dengan pilihan. Kita hidup dalam masa yang mengujakan, di mana bukan saja kita ada pemikiran dan suara yang kuat, tetapi juga kemampuan untuk menggunakannya.

Menjadi seorang wanita pada tahun 2021, bagi saya, bererti kita memiliki kemampuan untuk menangani apa sahaja dan semua cabaran yang datang dan betapa kita hidup pada masa di mana masyarakat lebih terdidik untuk menyokong kita sebagai wanita dalam usaha ini.

Walaupun begitu, realiti yang menyedihkan bagi banyak wanita di seluruh dunia, tanggapan itu tidak diperolehi dalam pengalaman hidup mereka. Sistem patriarki masih kukuh.

JASMIN: Pada tahun 2021, menjadi wanita atau gadis bermaksud pemberdayaan, keserataan dan kekuatan. Apa yang saya maksudkan adalah gadis-gadis digalakkan dengan pemberdayaan, mempunyai kekuatan dan memperjuangkan kesaksamaan.

Secara peribadi, bila saya dewasa saya ingin menjadi jurutera NASA dan mempunyai kerjaya dalam aeroangkasa. Saya fikir cita-cita ini tak mustahil untuk saya yang hidup pada zaman sekarang, tetapi ia bukan impian mudah bagi para wanita beberapa dekad yang lalu.

CHELSEA: Ini bermaksud bahawa kamu memahami kesukaran pada masa lalu dan belajar daripadanya serta berdikari dan tidak perlu meminta bantuan orang lain. Ini bermaksud kamu boleh menghadapi segala cabaran yang berlaku.

[Baca laporan penuh]