Kaunseling, pantau pelajar carut guru memadai - PIBGN
Pemantauan ibu bapa dan nasihat kaunseling sudah memadai buat pelajar berseragam sekolah yang memaparkan kata-kata kesat buat guru yang tular baru-baru ini, menurut Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN).
Presidennya Prof Mohamad Ali Hassan berkata, cadangan di media sosial agar tindakan lebih tegas dikenakan - seperti catatan negatif di buku laporan pelajar terbabit - hanya memberi kesan buruk kepada masa depan mereka.
“Kalau nyatakan dalam buku laporan mereka, saya khuatir ia akan beri impak negatif kepada masa depan mereka.
“Kita mungkin membunuh kerjaya dan masa depan mereka. Melainkan (kesalahan yang dilakukan) betul-betul serius. Saya tengok tulisan kesat (di baju seragam) tak banyak sangat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Gambar yang memaparkan beberapa pelajar menaiki motosikal yang memakai seragam yang tertera kata-kata tersebut, dimuat naik seorang pengguna Facebook baru-baru ini yang kemudiannya dikongsi ribuan pengguna lain, dengan ramai yang menyuarakan kemarahan terhadap pelajar itu.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan akan mengambil tindakan terhadap pemilik motosikal tersebut atas kesalahan tidak memakai topi keledar.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi pada 7 Mac berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dua pelajar berkenaan dan mengeluarkan saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelasnya, antara saman yang dikeluarkan adalah tidak mempunyai lesen memandu, kesalahan nombor pendaftaran dan motosikal tidak dilindungi insurans.
Bagaimanapun ada pihak yang menggesa agar 'tindakan disiplin' lebih tegas dikenakan walaupun pelajar terbabit telah tamat sekolah.
Mengulas lanjut, Mohamad Ali berpendapat nasihat dan amaran lisan sudah memadai dan sebarang tindakan lebih tegas daripada itu perlu diteliti.
Jelasnya, ini kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan pelajar terbabit tidak diterima di institusi pengajian tinggi atau di tempat kerja.
“Ia lebih murni. Katakanlah kalau kita tulis kelakuan dia dalam kad laporan, kelakuan mereka ini lebih baik kalau dilaporkan kepada ibu bapa atau penjaga.
“Diharapkan ibu bapa dan penjaga menasihatkan mereka dan mengingatkan mereka agar tidak mengulanginya dan memantau tingkah laku anak-anak mereka,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai