Skip to main
Logo Malaysiakini

Guan Eng gesa k'jaan pastikan LHDN tak 'U-turn' program pengakuan sukarela

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendesak Kementerian Kewangan untuk memastikan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak kembali kepada "amalan buruk" dalam tindakan auditnya terhadap program pengampunan cukai 2018-2019.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim mengatakan Kementerian Kewangan harus meyakinkan para pembayar cukai bahawa tidak akan berlaku pembekuan akaun bank sewenang-wenangnya atau tindakan "memalukan" pembayar cukai seperti penyerbuan pejabat secara besar-besaran.

LHDN sedang mengkaji perincian yang dikemukakan oleh peserta Program Khas Pengakuan Sukarela (SPVD) yang dimulakan ketika Lim menjadi menteri kewangan.

Menurut Lim, ia merupakan tindakan pusingan-U dalam dasar kerajaan kerana ketika SPVD berkuat kuasa, LHDN menerima pengakuan itu atas kepercayaan pembayar cukai bahawa mereka tidak akan diaudit.

Lim menjelaskan bahawa SPVD dilaksanakan untuk mengatasi masalah kepatuhan oleh pembayar cukai dan dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh LHDN.

Program khas itu mengurangkan denda cukai lewat menjadi 15 peratus, turun dari maksimum 300 peratus. Secara keseluruhan, program SPVD menyaksikan RM7.877 bilion dikutip daripada 286,428 pembayar cukai.

Bagaimanapun, Sin Chew Daily baru-baru ini melaporkan bahawa Institut Cukai Berkanun Malaysia (CTIM) telah menerima aduan daripada peserta SPVD bahawa mereka sedang diaudit.

Lim berkata LHDN tidak mempunyai alasan untuk menyiasat cukai sebelum 2018 di kalangan peserta SPVD kecuali mereka terlibat dalam kegiatan jenayah.

"LHDN mengatakan bahawa ia bergantung pada kejujuran pembayar cukai. Syarat seperti itu terpakai kepada dua-dua pihak kerana LHDN juga harus bertindak dengan jujur.

"LHDN terikat dengan surat piawai mereka yang mengusulkan taksiran cukai di mana mereka telah bersetuju. Dengan kata lain, perjanjian seperti itu hanya dapat dibuat setelah LHDN melakukan penilaian komprehensif, "katanya.

Lim mengulangi bahawa dia akan menawarkan diri sebagai saksi di mahkamah sekiranya ada pembayar cukai yang terlibat membawa LHDN ke mahkamah kerana mengingkari janji di bawah SPVD.