'Tangani isu gaji rendah, bukannya salahkan golongan milenial'
Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir membidas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang menurutnya mengabaikan isu-isu pokok seperti gaji rendah ketika membuat kenyataan bahawa generasi milenial berbelanja lebih daripada kemampuan.
Baru-baru ini Zafrul mengatakan bahawa Bank Negara Malaysia mendapati bahawa 47 peratus belia mempunyai hutang kad kredit yang tinggi, dan menggesa para belia untuk simpanan dan berbelanja mengikut keutamaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Akmal mengkritik Zafrul yang disifatkannya hanya menuding jari kepada golongan muda pada masa sama gagal mengenal pasti faktor struktur dan sosial.
"Isu ini tidak wajar dipukul rata seolah-olah orang muda hari ini tidak tahu dan tidak bertanggungjawab dari segi pengurusan kewangan mereka tanpa terlebih dahulu meneliti aspek lain yang menyumbang kepada perkara ini.
"Menteri Kewangan perlu mempunyai sikap empati dalam perkara ini dan meletakkan diri di tempat orang muda yang sedang bergelut dalam situasi dimana kurangnya peluang pekerjaan, tiada jaminan pekerjaan, kos sara hidup yang tinggi, perlu melakukan lebih dari dua kerja dan terpaksa berhadapan dengan bayaran gaji yang tidak berpadanan dengan tanggungan mereka," katanya.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu menegaskan bahawa gaji rendah dan tidak stabil juga merupakan masalah utama.
Dia menyorot tinjauan firma Mercer pada 2019 yang mendapati kenaikan gaji di Malaysia berada di belakang negara serantau lain.
"Tidak wajarlah Menteri Kewangan menegur orang muda mengenai pengurusan kewangan dengan pendapatan beliau yang jauh berbeza dengan orang biasa, tetapi beliau sepatutnya fokus mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan mengakar yang kian membimbangkan ini terutamanya untuk meningkatkan pendapatan rakyat," katanya.
Bank Negara sebelum ini mendapati bahawa pekerja di Malaysia tidak mendapat gaji yang mencukupi untuk pekerjaan mereka berbanding negara seperti Singapura dan Australia.
Kajian juga mendapati bahawa terdapat kekurangan pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi.
Justeru, Bank Negara menggesa pembaharuan termasuk mewujudkan pekerjaan yang berkemahiran tinggi untuk memastikan pekerja Malaysia mendapat gaji yang setara.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai