Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Lima soalan untuk MP Segamat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KATA MP | Di mana Edmund Santhara, Ahli Parlimen Segamat merangkap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan sekarang?

Saya perlu bertanya kerana rasa bertanggungjawab bahawa selaku Pengerusi PKR Johor yang lalu, saya orangnya yang memberi laluan kepada Edmund Santhara bergerak di Cabang Segamat dan akhirnya menyokong beliau menjadi calon PKR/PH di Parlimen Segamat.

Bilakah Edmund Santhara akan pulang berkhidmat di kawasan parlimennya Segamat? Saya perlu bertanya soalan ini kerana walau apapun yang terjadi, saya masih tidak dapat lupa Edmund Santhara pernah jadi sahabat saya dan pernah datang ke Mahkamah Sesyen Shah Alam memberi sokongan pada saya yang sedang dituduh di bawah Akta Hasutan ketika itu.

Adakah Edmund Santhara memiliki taraf Pemastautin Tetap (Permanent Resident, PR) negara New Zealand? Soalan ini terlalu peribadi. Tetapi saya perlu bertanya juga kerana beliau seorang Timbalan Menteri Kerajaan Persekutuan dan seorang Ahli Parlimen.

Jika benar Edmund Santhara ada PR New Zealand, adakah dia terpaksa bermastautin setiap tahun di sana dalam tempoh tertentu untuk mengekalkan status PR itu?

Pedih rasanya, saya terpaksa bertanya soalan ini kepada Edmund Santhara yang amat baik kepada saya. Pada suatu hari sebelum PRU-14, saya berada di KL.Tiba-tiba diberitahu adik perempuan saya meninggal dunia di Pontian, Johor.

Tiket kapal dah habis. Naik bas, terlalu lambat sampai. Cari teksi untuk sewa terus ke Johor tak ada. Ketika itu Edmund Santhara yang bergelar Datuk Seri menawarkan pertolongan menghantar saya hingga sampai ke tanah perkuburan untuk menyaksikan Allahyarhamah adik saya dikebumikan. Jasanya yang sukar saya lupakan.

Tetapi kerana saya yang mengangkat Edmund Santhara menjadi calon PKR di Parlimen Segamat, maka saya perlu meneruskan soalan saya.

Di mana ambil vaksin Covid-19?

Di manakah Edmund Santhara akan mengambil suntikan vaksin Covid-19? Adakah dia telahpun divaksinasi?

Soalan ini perlu dijawab kerana Edmund Santhara selaku Ahli Parlimen Segamat perlu ambil berat tentang nasib rakyat dan pengundi Parlimen Segamat. Adakah mereka telah mendapat vaksin?

Saya perlu sebut suatu cerita benar. Satu dua hari selepas Langkah Sheraton, saya di KL ada membuat panggilan telefon kepada Edmund Santhara minta beliau pertimbangkan supaya kekal dengan PKR dan jangan meninggalkan parti untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Panggilan telefon saya itu diangkat dan dijawab dengan sopan dan hormat. Keesokannya, panggilan telefon saya kepada wakil rakyat Segamat itu tidak dijawab. Sekarang soalan saya seterusnya dan yang terakhir.

Di mana bayar cukai?

Wahai sahabatku Edmund Santhara, di negara manakah anda membayar cukai? Sama ada cukai harta ataupun cukai pendapatan? Soalan ini relevan kerana Ahli Parlimen Segamat tersebut merupakah ahli parlimen yang terkaya di Parlimen Malaysia.

Sebagai seorang patriot, saya rasa Edmund Santhara tidak keberatan menjawab soalan berhubung cukai itu. Saya merekodkan di sini, walaupun lima soalan dengan terus terang telah saya kemukakan kepada Edmund Santhara dan menuntut dijawab, tetapi saya perlu nyatakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ini adalah seorang gantlemen.

Jika terserempak beliau di Parlimen, Edmund Santhara akan sentiasa ada masa, berhenti sebentar, menegur sapa saya, bertanya khabar. Saya menyedari beliau menghormati saya.


HASSAN ABDUL KARIM merupakan ahli parlimen Pasir Gudang. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.