Semua orang bebas tulis pada Agong, kata Jawatankuasa Khas Bebas Darurat
Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat Arifin Zakaria berkata, pihaknya tiada masalah untuk mendengar pandangan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat namun harus membincangkan dulu perkara yang dibangkitkan.
Tambahnya yang juga merupakan bekas ketua hakim negara, semua individu mempunyai hak untuk menghantar petisyen atau memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Kita negara bebas, semua orang boleh tulis dan nyatakan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Itu di atas mereka, tiada kena mengena dengan kita (Jawatankuasa Khas Bebas Darurat)
“Tengok keadaan (pandangan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Daraurat) dan kita kena buat perbincangan,” katanya kepada Malaysiakini.
Hari ini, beberapa ahli politik, NGO, aktivis dan peguam telah menubuhkan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat bagi mendesak kerajaan supaya menamatkan pengisytiharaan tersebut.
Tujuan utama jawatankuasa itu adalah untuk mengumpul tandatangan rakyat untuk menamatkan darurat.
Pada 12 Jan lalu Yang di-Pertuan Agong - setelah menerima nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin - memberi perkenan kepada pelaksanaan daurat di seluruh negara sehingga 1 Ogos sebagai langkah menangani Covid-19.
Pada masa sama kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bagi menasihatkan Agong mengenai darurat tersebut dan mencadangkan jika ia boleh ditamatkan lebih awal.
Ditanya adakah Jawatankuasa Khas Bebas Darurat berhasrat membentangkan perkembangan terkini kepada umum, Arifin menjelaskan bahawa pihaknya tidak akan berbuat demikian
Jelasnya setakat ini, perbincangan jawatankuasa berhubung proklamasi darurat masih di peringkat awal.
“Tidak, kita kalau nak putuskan untuk perkembangan isu darurat. Kita akan buat perbincangan sesama ahli. Setakat ini baru mesyuarat awal.
“Kita pula (baru-baru ini) kena kuarantin ramai-ramai, sebab ada seorang pegawai kementerian ada kontak rapat. Kami langkah berjaga-jaga kuarantin sajalah,” katanya lagi.
Bagaimanapun dia enggan mengulas lanjut berhubung berapa kali mesyuarat telah diadakan dan apakah terma rujukan digunakan bagi jawatankuasa tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai