Skip to main
Logo Malaysiakini

NUJ: Ordinan darurat 'berita palsu' terdedah untuk disalah guna

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) menyatakan kebimbangan dengan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 yang dikatakan bagi melawan "berita palsu".

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung NUJ Semenanjung Malaysia Chin Sung Chew mengatakan bahawa pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana ordinan berkenaan terdedah untuk penyalahgunaan.

Jelasnya, istilah "berita palsu" tidak didefinisikan dengan jelas dalam peraturan itu.

"NUJ bimbang dengan hasrat kerajaan dan ada kemungkinan penyalahgunaan.

"Sesiapa yang tidak setuju dengan langkah kerajaan berhubung Covid-19 boleh diambil tindakan terhadap mereka dengan segala bentuk penyebaran berita mengenai masalah tersebut.

"Ini juga dapat dianggap sebagai 'berita palsu' (untuk) artikel apa pun yang dianggap tidak dipersetujui oleh kerajaan kecuali jika kerajaan menubuhkan badan bebas yang tepat untuk meneliti tuduhan jenayah berita palsu yang dilakukan," katanya.

Chin berkata, sebaliknya, kerajaan seharusnya mewujudkan majlis media untuk menangani penyebaran maklumat palsu.

"Kesatuan berpendapat bahawa majlis media juga boleh berperanan meneliti dakwaan tentang berita palsu yang dilakukan dan bukannya kerajaan mewartakan undang-undang baru untuk mengatasi hal ini," katanya.

Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 berkuat kuasa bermula hari ini.

Mereka yang didapati bersalah menyebarkan "berita palsu" yang berkaitan dengan Covid-19 atau pengisytiharan darurat dalam pelbagai media kini boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Berdasarkan ketetapan itu, mahkamah dapat memerintahkan agar penerbitan artikel itu dihapus. Ia juga mengatasi Akta Keterangan 1950, tertakluk kepada semua pihak di dalam dan luar negara dan memberi pihak berkuasa akses kepada semua kata laluan, data dan perkakasan. Penyitaan boleh dibuat tanpa waran.

Ordinan itu tidak perlu melalui Parlimen kerana ia dibuat menggunakan kuasa darurat. Tidak seperti undang-undang biasa, undang-undang itu tidak boleh dicabar di mahkamah.

Chin berpendapat bahawa undang-undang yang serius ini harus melalui Parlimen.

"Malaysia menghapuskan Akta Berita Tidak Benar 2018 pada 2019 (semasa) pemerintahan Pakatan Harapan sebelumnya dan ini disambut baik oleh pengamal media tempatan pada masa itu.

"Sayangnya, setelah pemerintah PN mengambil alih kekuasaan pentadbiran, kebebasan media di negara ini sekarang semakin ditekan," kata wartawan senior itu.

PN mendapat banyak kritikan sejak undang-undang itu diumumkan semalam.

Majlis Peguam, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), kumpulan hak media Geramm, ahli parlimen pembangkang, peguam dan rakyat Malaysia secara dalam talian telah mengecamnya sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara.

Awal hari ini, menteri undang-undang Takiyuddin Hassan mengatakan bahawa adalah suatu kesalahan di bawah peraturan "berita palsu" untuk mendakwa bahawa kerajaan memohon pengisytiharan darurat kerana kehilangan majoriti di Dewan Rakyat.