Skip to main
Logo Malaysiakini

Kompaun RM10k serlahkan sikap autokratik k'jaan PN - Anwar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kadar kompaun RM10,000 yang dikenakan kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencerminkan kecenderungan kerajaan untuk bersikap autokratik, kata ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.

"Kadar denda yang tidak munasabah itu menyerlahkan kecenderungan yang autokratik kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak merampas kuasa tahun lalu melalui rencana yang jelek dan hina.

"Ini juga bukti nyata bahawa kerajaan ini mengamalkan sikap antara dua darjat dalam menguatkuasakan peraturan tatkala rakyat terus dimangsakan secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Kerajaan sebelum ini menaikkan kompaun berkenaan daripada RM1,000 kepada RM10,000 berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 11 Mac.

Semalam Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata sebanyak 330 notis kompaun RM10,000 dikeluarkan kepada individu yang melanggar SOP PKP di seluruh negara setakat ini.

Bagaimanapun Abdul Hamid sebelum ini berkata kadar kompaun itu boleh dikurangkan dengan memohon rayuan di pejabat kesihatan daerah.

Menurut Anwar, kerajaan sepatutnya lebih peka dengan kepayahan rakyat ketika ramai di kalangan mereka telah kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.

"Pernahkah kerajaan ini fikirkan apakah rakyat mampu untuk membayar denda sejumlah RM10,000 sekiranya RM1,000 itu pun mereka tidak mampu?

"Bagaimana mungkin kita benarkan rakyat Malaysia yang miskin yang sudah pun dibebankan dengan kepayahan yang dahsyat, dikurung di penjara kerana tidak mampu membayar denda?

"Negara jenis apakah yang mahu kita bangunkan ini?

"Apakah kerajaan ini bersedia untuk mendengar rintihan rakyat, atau apakah ia akan terus untuk tidak mempedulikannya sambil terus menyalahgunakan Pengisytiharan Darurat?" soalnya.