'Acara sambut PM': Ramai tak ramai, saya tak tengok lagi - Ismail Sabri
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob enggan mengulas mengenai dakwaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan anggota kabinetnya mungkin telah melanggar prosedur operasi standard (SOP), sekembalinya rombongan PM dari lawatan rasmi ke luar negara.
Katanya, ini ekoran dia belum melihat gambar yang mendakwa berlaku perkumpulan bagi menyambut Muhyiddin, yang dikatakan berlaku di lapangan terbang dua hari lalu.
"Saya tak tengok. Ramai tak ramai tu, saya tak tengok.
"(Jadi) saya tak boleh komenlah," katanya kepada pemberita hari ini.
Dia berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Projek Satu Anggota Satu Rumah (Sasar), Satria Residensi di Kem Transmitter, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Beberapa ahli parlimen pembangkang membangkitkan isu itu ekoran hantaran berserta gambar yang dikongsikan ahli politik Bersatu di media sosial, termasuk oleh Menteri Kanan (Miti) Azmin Ali.
Berdasarkan gambar-gambar itu, kelihatan dua anggota kabinet iaitu Azmin dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menyambut ketibaan Muhyiddin dan isterinya di lapangan terbang.
Muhyiddin kembali pada Khamis setelah melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19, mereka yang kembali dari luar negara harus menjalani kaurantin wajib 10 hari.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada menteri yang kembali dari lawatan rasmi ke luar negeri, dengan tempoh kuarantin selama tiga hari.
Turut dilihat dalam gambar yang dikatakan itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Naib Presiden Bersatu, Rafiq Naizamohideen dan Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.
Selain Azmin, Rafiq juga turut berkongsi foto serupa di Facebooknya pada petang yang sama Muhyiddin tiba, manakala Wan Fayhsal memuat naik foto berkenaan pada hari Jumaat malam.
Malaysiakini maklum mengenai sambutan itu, termasuk bacaan doa sebaik Muhyiddin dan isterinya turun dari pesawat, di Pangkalan Tentera Udara Subang.
Dalam hal berasingan, Ismail yang juga menteri pertahanan berkata majlis pecah tanah program Sasar yang dirasmikannya tadi bermatlamat untuk memastikan setiap anggota dan veteran tentera memiliki rumah sendiri sebelum mereka bersara.
Projek di Sungai Besi itu merupakan projek pertama di bawah Sasar, yang bakal menyaksikan 3,500 unit rumah jenis pangsapuri dibina dengan kerjasama pihak swasta.
Kesemua unit telah habis dijual.
"Di Sungai Besi merupakan projek pertama kita di bawah Sassar. Dengan harga jauh lebih murah daripada unit-unit lain di luar sana," kata Ismail.
Pangsapuri itu menyediakan tiga jenis unit yang berbeza keluasan, iaitu 1,000 kaki persegi (1,800 unit, RM150,000 seunit), 1,100 kaki persegi (1,200 unit, RM199,000 seunit) dan 1,200 kaki persegi (500 unit, RM250,000 seunit).
"Sasaran kita, kita akan bina 25,000 unit di bawah Sasar (sehingga tahun 2030)," tambahnya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai