Skip to main
Logo Malaysiakini

MB S'gor: Saya, Adun PKR tetap setia perjuangan PH

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini memberi jaminan dirinya tetap setia terhadap PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Ini selepas veteran PKR Dr Xavier Jayakumar keluar parti untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Saya dan Adun PH sekalian memberi jaminan bahawa kami tetap setia dengan perjuangan PKR dan Pakatan Harapan yang mengutamakan kecemerlangan, kestabilan dan keutuhan negeri Selangor Darul Ehsan," katanya yang juga pengerusi PKR negeri pada satu kenyataan malam ini.

Amirudin dan Xavier berada dalam pasukan Azmin Ali ketika kempen pemilihan PKR pada 2018.

Amirudin dilihat sebagai 'anak didik' Azmin dan dipilih Azmin menggantikannya sebagai menteri besar Selangor pada 2018.

Sementara itu, Amirudin berkata dia akan mengadakan pertemuan dengan PKR Cabang Kuala Langat, bekas bahagian parti yang diterajui Xavier.

"(Ini) bagi memastikan keutuhan organisasi parti dan menyusun program di sana.

"Saya yakin cabang Kuala Langat tetap bersemangat meneruskan perjuangan PKR dan berkobar-kobar mempertahankan kawasan tersebut pada pilihan raya akan datang," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan Wanita PKR Kuala Langat menyuarakan rasa kecewa dengan keputusan Xavier menyokong PN.

Pemangku ketua wanita cabang, Thanaletchumy Muthusamy memberi jaminan sayap PKR itu akan tetap setia kepada PKR dan Presidennya Anwar Ibrahim.