Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes kartel daging: SPRM sudah serah kertas siasatan ke Pejabat Peguam negara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes kartel daging kepada Pejabat Peguam Negara dua minggu lepas.

Pengarahnya Datuk Azmi Alias berkata pihaknya sedang menunggu keputusan Pejabat Peguam Negara sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran CD Anti Rasuah, di Johor Bahru, hari ini beliau berkata sehingga kini 12 suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu, termasuk Pengarah Syarikat serta pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kes tawaran rasuah RM10 juta untuk lompat parti melibatkan Ahli Parlimen Sekijan Natrah Ismail, beliau berkata siasatan berhubung kes itu telah selesai dan keterangan saksi telah diambil.

“Siasatan pada peringkat awal telah selesai dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara. Empat saksi juga telah dirakam percakapan mereka termasuk Natrah,” katanya.

Pada 9 Mac, SPRM Johor membuka kertas siasatan bagi mengesahkan aduan berhubung tawaran rasuah RM10 juta melibatkan Natrah sebagaimana yang dilaporkan dalam Facebook Ops Johor berkenaan kes berkenaan.

Sementara itu merujuk kepada isu berkenaan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata tidak ramai ahli politik yang tampil membuat laporan kepada SPRM berhubung isu melibatkan tawaran rasuah untuk lompat parti.

“Isu ini banyak cakap sahaja, tetapi tidak lapor kepada kita.. kecuali apabila menerima tekanan daripada orang awam baru isu ini hendak dilaporkan. Tidak banyak laporan diterima, lompat parti ini sesiapa boleh lakukan,” katanya dalam sidang media yang sama.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli politik untuk tampil kehadapan membuat laporan agar siasatan dapat dijalankan, dan tidak hanya sekadar menghebohkan perkara itu kepada orang awam.

“Kalau isu ini dicanang di luar selepas itu baru datang kepada kita.. SPRM tidak boleh melindungi (apa-apa) kerana perkara itu telah dikongsi kepada awam, maknanya bukan kita pihak awal yang dapat maklumat itu, yang penting mana-mana (ahli politik) kalau ditawarkan (rasuah) datang dan lapor kepada kita.. yang penting jangan heboh satu dunia dulu,” katanya.

Terdahulu, beliau menjelaskan seseorang itu boleh didakwa di bawah Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 sekiranya gagal melaporkan tawaran rasuah.

- Bernama