Skip to main
Logo Malaysiakini

JPJ Kelantan nafi dakwaan sebabkan tayar lori balak pecah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menafikan dakwaan tindakan penguatkuasaan anggotanya terhadap seorang pemandu lori balak di Stesen Penguat kuasa JPJ (SPK) Laloh, Kuala Krai telah mengakibatkan tayar lori milik individu terbabit pecah.

Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata unit Operasi JPJ Laloh mengadakan satu operasi khas bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Krai telah mengesan lori terbabit dari arah Gua Musang-Kuala Krai dan disyaki membawa lebih muatan, petang semalam.

Berikutan itu, anggota operasi telah mengeluarkan satu notis arah timbang di bawah Seksyen 82(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan mengarahkan pemandu itu hadir timbang di SPK Laloh.

"Pemandu berusia 45 tahun itu kemudian telah hadir untuk timbang melalui pintu masuk utama dalam keadaan melulu dan tergesa-gesa sehingga melanggar konkrit pembahagi jalan di hadapan SPK pada 5.45 petang.

"Hal ini telah mengakibatkan kerosakan pada tiga biji tayar sisi kanan belakang lori (pecah dan rosak dibahagian rim tayar),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hanif Yusabra, semasa proses dokumentasi dan penimbangan, pemandu telah membuat rakaman video yang tular di laman sosial sambil meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada anggota bertugas.

"Setelah proses menimbang lori dilakukan, didapati muatan kayu balak yang dibawa melebihi daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) dibenarkan.

"Pada masa sama, anggota telah mengeluarkan saman bagi kesalahan Lesen Memandu (CDL), Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang telah tamat tempoh dan membawa muatan secara bahaya. Pemandu kenderaan tersebut telah menghilangkan diri tanpa dikesan selepas notis saman dikeluarkan,” katanya.

Sehubungan itu, Hanif Yusabra berkata satu laporan polis telah dibuat bagi tujuan menafikan dakwaan pemandu lori berkenaan.

"Pemandu tersebut gagal memberi kerjasama kepada anggota penguat kuasa dalam menjalankan tugas dan turut berniat ingin menjatuhkan imej JPJ dengan menularkan rakaman video kepada orang ramai di laman sosial.

“JPJ juga mengingatkan orang awam supaya tidak menyebarkan hal tidak benar tanpa usul periksa dan kes ini diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 1.55 minit di media sosial ‘Tiktok’ dan Facebook berkaitan ketidakpuasan hati pemandu sebuah lori jenis art timber jinker (ATJ) terhadap tindakan penguatkuasaan yang diambil anggota SPK Laloh Kuala Krai, Kelantan menyebabkan tayar lori miliknya pecah.

- Bernama