Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pengkhianat dan lanun' - video lama 'hantui' Xavier

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Susulan tindakan bekas naib presiden PKR Dr Xavier Jayakumar untuk keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional (PN), beberapa video ucapannya mula disebarkan di media sosial.

Dalam salah satu video itu, dia yang juga ahli Parlimen Kuala Langat dilihat mengkritik kerajaan dan keputusan untuk mengadakan sidang Parlimen sehari pada Mei 2020, atas dasar penularan Covid-19.

Lengkap berpakaian rasmi Parlimen, Xavier membidas perkara itu sebagai "kepura-puraan oleh sekumpulan pengkhianat dan lanun" (a charade being played by a bunch of traitors and pirates).

"Selepas enam bulan, hari ini saya melangkah ke Parlimen. Anda semua mengundi kami untuk ke Parlimen, kami adalah suara semak dan imbang kepada kerajaan.

"Tetapi kerajaan ini, (sidang) Parlimen ini akan menjadi mengarut (rubbish). Sidang Parlimen ini tiada makna. Kami ke sana hanya selama sejam, untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong...

"Ini semua dengan alasan Covid-19. Tetapi kisah sebenarnya, tuan-tuan dan puan-puan, adalah mereka takut.

"Kerajaan takut untuk bersemuka dengan kami. Kerajaan takut akan ada undi tidak percaya oleh Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad," katanya lagi.

Dalam video itu, Xavier juga membangkitkan yang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak dipilih rakyat dan merampas kuasa.

"Ia hanya untuk menjaga kepentingan mereka...Mereka tidak boleh dibiarkan atas tindakan itu.

"Tetapi inilah demokrasi di Malaysia hari ini, tahap demokrasi di Malaysia...," katanya lagi.

Dalam satu lagi video wawancara bersama portal The Vibes yang turut tersebar, Xavier mengecam tindakan lompat parti yang disifatkannya sebagai "tidak bermoral dan tidak beretika".

"Satu mekanisme perlu diwujudkan. Lompat parti selepas pilihan raya patut dilarang.

"Anda menafikan suara dan sokongan rakyat dengan melakukannya. Anda diundi atas pihak lain, dan tiba-tiba anda bertukar pihak," katanya.

Terdahulu, Xavier yang menganggotai PKR sejak 1998 (dahulunya Parti Keadilan Nasional) mendakwa dia membuat keputusan keluar PKR kerana "sangat kecewa" dengan parti itu sejak setahun lalu.

Bagaimanapun ada spekulasi mengatakan ia mungkin berkaitan dengan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang membawa kepada penangkapan kenalan akrabnya, MA Tinagaran yang juga timbalan pengerusi PKR Perak.

SPRM turut merampas wang tunai RM1.2 juta dan membekukan RM77 juta di bank. Beberapa kereta mewah turut dirampas.

Xavier menafikan keputusannya berkaitan dengan kes itu tetapi Majlis Presiden PH sebelum ini mendakwa kerajaan menggunakan agensi persekutuan untuk menekan ahli Parlimen pembangkang agar menukar sokongan.