Skip to main
Logo Malaysiakini

Felda berjaya kuasai 81 peratus saham FGV

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah berjaya menguasai 81 peratus pegangan saham dalam FGV Holdings Bhd dan sekutunya, termasuk Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF).

Ini susulan daripada tempoh tawaran mandatori terhadap baki saham yang belum dimiliki telah tamat pada Isnin.

Felda dalam satu kenyataan hari ini berkata sebanyak 987.3 juta atau 27.1 peratus saham diterima berikutan tawaran am mandatori manakala 125.6 juta (3.4 peratus) saham dibeli di pasaran.

Ini bermakna Felda dan KPF kini menguasai 81 peratus saham FGV manakala kerajaan Pahang pula memiliki lima peratus dan kerajaan negeri Sabah dan syarikatnya Sawit Kinabalu memiliki empat peratus saham FGV, katanya.

Pengerusi Felda Idris Jusoh berkata sebagai sebuah anak syarikat, ini akan membolehkan pengurusan ladang perjanjian pajakan tanah (LLA) FGV berserta kilang sawit, diintegrasikan dengan ladang Felda yang lain, supaya lebih cekap dan berkesan untuk manfaat bersama.

“Saya percaya kerjasama Felda dan FGV akan membentuk sinergi yang membawa manfaat kepada kedua-dua organisasi.

“Untuk terus mengorak langkah ke hadapan, adalah penting untuk kita memegang prinsip ‘we are one’,” katanya.

Pengarah Besar Felda Amiruddin Abdul Satar berkata gandingan kerjasama antara Felda dan FGV mampu memberi nilai tambah kepada Felda terutamanya dengan lebih memfokuskan aktiviti hiliran yang kurang diberi perhatian sebelum ini.

“Aktiviti hiliran akan memberi margin keuntungan yang lebih tinggi dan akan mampu mengukuhkan kedudukan kewangan Felda dengan lebih mampan,” ujarnya.

Pengambilalihan FGV oleh Felda adalah suatu langkah penting dalam Pelan Pemulihan Fleda yang telah diluluskan oleh kerajaan demi manfaat 112,638 peneroka dan dua juta warga besar Felda.

Sementara itu, FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata sebaran pemegangan saham awam syarikat itu berada pada 14.01 peratus setakat 15 Mac dan ia masih dianggap sebagai tidak memenuhi syarat-syarat sebaran pemegangan awam mengikut Perenggan 8.02(1) daripada Keperluan Penyenaraian.

Syarikat itu berkata ia pada Selasa mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities untuk melanjutkan masa bagi membaiki kekurangan dan menyediakan masa yang mencukupi kepada Felda untuk merangka pelan bagi status penyenaraian FGV.

-Bernama