Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Kampar minta DAP teliti aduan, mohon maaf 'hilang sabar'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Kampar Thomas Su hari ini tampil mengemukakan permohonan maaf dan memberi penjelasan atas tindakannya ketika Konvensyen DAP Perak Ke-19 Ahad lalu, yang menimbulkan kekecohan dan kontroversi di media sosial.

Su berkata dia bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan menegaskan tindakannya itu langsung tidak mencerminkan gaya perjuangan DAP.

“Saya sedar tindakan saya, sekalipun berniat baik atau selaras dengan apa yang saya percaya sebagai prinsip DAP, adalah salah, dan tidak mencerminkan gaya perjuangan DAP.

"Saya bertanggungjawab atas kejadian tersebut. Dengan ini, saya menzahirkan kekesalan (atas tindakan saya) dan memohon maaf," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Pada hari itu, kem yang menggandingkan bekas menteri sumber manusia, M Kulasegaran dan Su, mendakwa jawatankuasa yang mengendalikan pemilihan masih meminta perwakilan menghadiri konvensyen meskipun waktu pendaftaran sudah berakhir.

Penyokong kem Kula-Su kedengaran melaungkan "pengundi hantu" ketika kekecohan ketika pemilihan berlangsung.

Ini selepas mereka mendakwa segelintir perwakilan dilihat memakai tanda nama bertulis tangan, dan bukannya pengenalan yang dihasilkan menerusi cetakan komputer.

“Saya rasa (tindakan) ini tidak wajar. Pada ketika itu, saya membantah tindakan itu dan meminta ia dihentikan segera, atau saya diberi kebenaran melihat senarai nama berkenaan,” katanya

“Namun, bantahan saya ini tidak diendahkan, di mana saya rasa ia bertentangan dengan prinsip asas DAP yang sebelum ini berbangga dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan demokrasi.”

Menurut Su, dia kemudian 'hilang sabar' dan mula meninggikan suaranya yang menyebabkan berlakunya perang mulut di kalangan ahli-ahli parti.

Terdahulu, media melaporkan timbul kekecohan ketika Konvensyen DAP Perak ke-19 Ahad lalu susulan dakwaan wujud pengundi hantu yang akan memilih ahli ke jawatankuasa negeri dan isu tempoh pengundian tiba-tiba dilanjutkan.

Kekecohan itu berlaku sebaik saja Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selesai berucap merasmikan konvensyen tersebut yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan ahli DAP negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook menyifatkan dakwaan berkenaan “pengundi hantu” itu sebagai tidak berasas sama sekali.

Sementara Timbalan Ketua Pemuda DAP, Chiong Yoke Kong - yang ditugaskan oleh kepemimpinan nasional untuk mengawasi pemilihan parti negeri - menjelaskan bahawa tanda nama tulisan tangan digunakan untuk menggantikan yang salah dicetak.

Tambah Su, dia mengakui beliau sepatutnya menzahirkan bantahannya berkenaan isu itu melalui saluran yang lebih sesuai.

Dia juga menyeru agar jawatankuasa eksekutif pusat parti meneliti penjelasan beliau tentang insiden tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyiasat isu ini.

“Saya percaya, harapan saya ini adalah selaras dengan apa yang diperjuangkan DAP, (iaitu) pemilihan yang adil dan telus,” katanya.

Kulasegaran dan Su mencabar kem Nga Kor Ming dan sepupunya, Ngeh Khoo Ham dalam pemilihan DAP negeri Perak.

Pasukan Nga-Ngeh menyapu bersih dengan memenangi kesemua 15 jawatan dipertandingkan.