Skip to main
Logo Malaysiakini

Noor Hisham: Keberkesanan jangka panjang 1 dos vaksin belum diketahui

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata keberkesanan jangka panjang suntikan satu dos vaksin Pfizer-BioNTech masih belum diketahui.

Noor Hisham berkata demikian ketika mengulas cadangan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semalam agar pemberian dos kedua vaksin Covid-19 itu ditangguhkan, agar lebih ramai orang menerima dos pertama.

Kerajaan mula memberi dos kedua hari ini, iaitu selaras dengan syor Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) agar ia dibuat 21 hari selepas dos pertama.

Noor Hisham menjelaskan yang fasa ketiga ujian klinikal menunjukkan keberkesanan vaksin mencapai kadar 89 peratus selepas 14 hingga 21 hari pemberian dos pertama.

Katanya lagi, kajian itu bagaimanapun tiada data berhubung pergantungan terhadap satu dos untuk jangka panjang.

"Pada masa ini, keberkesanan jangka panjang untuk pemberian satu dos vaksin Comirnaty tidak diketahui kerana penerima vaksin dalam kajian klinikal tersebut menerima dua dos dengan selang masa antara 19 hingga 42 hari.

"Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa peningkatan ketara antibodi yang berkebolehan memberi keberkesanan jangka panjang seseorang adalah selepas dos kedua.

"Kelewatan mendapatkan dos kedua mungkin akan melambatkan penghasilan antibodi yang optimum," katanya dalam kenyataan. Dia bagaimanapun tidak merujuk Anwar secara langsung dalam kenyataan itu.

Corminaty adalah nama vaksin Pfizer-BioNTech.

Kumpulan pakar penasihat strategik WHO berkenaan imunisasi mengesyorkan dos kedua diberi selepas 21 hingga 28 hari dos pertama. Bagaimanapun penangguhan sehingga 42 hari masih dibolehkan.

Ujian klinikal mendapati setelah mendapat dos kedua, keberkesanan vaksin mencapai 94.6 peratus.

Beberapa saintis mencadangkan penangguhan dos kedua jika terdapat kekurangan bekalan vaksin memandangkan satu dos sudah dapat memberi perlindungan memadai untuk jangka pendek.

Dalam kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine, dua penyelidik mendapati dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech memberi keberkesanan 68.5 peratus selepas tujuh hari.

Ia meningkat kepada 92.6 peratus selepas 14 hari, menurut Danuta M Skowronski dari British Columbia Centre for Disease Control dan Gaston De Serres dari Institut National de Santé Publique du Québec.

Bagaimanapun, mereka juga mengakui ketidakpastian sekitar tempoh perlindungan satu dos vaksin.

"Namun pemberian dos kedua dalam tempoh sebulan selepas dos pertama, seperti yang disyorkan, hanya memberi sedikit manfaat tambahan untuk jangka pendek. Sementara individu berisiko tinggi yang sepatutnya telah mendapat dos pertama dibiarkan tanpa perlindungan," kata mereka.