Skip to main
Logo Malaysiakini

6 tokoh politik Asean gesa sekatan perdagangan, ekonomi pada Myanmar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sekumpulan tokoh politik yang terdiri daripada ahli parlimen dan bekas ahli parlimen mendesak anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) untuk menghentikan dasar tiada campur tangan bagi memaksa tentera Myanmar berhenti membunuh orang awam.

Dalam satu kenyataan bersama, enam pemimpin itu mengatakan kerajaan Asean harus berhubung secara konstruktif dan kritis dengan pilihan untuk mengenakan sekatan perdagangan dan ekonomi ke atas tentera Myanmar.

Mereka juga mendesak kerajaan Asean untuk menuntut agar tentera Myanmar membebaskan semua tahanan politik, memulihkan keadaan politik Myanmar seperti sebelum 1 Februari dan menghormati hasil pilihan raya pada November 2020.

"Semua orang yang bertanggungjawab atas pembunuhan orang yang tidak bersalah juga harus diadili dan dibawa ke muka pengadilan.

"Jika gagal, semua kerajaan Asean lain harus bersatu dan menggantung keanggotaan Myanmar dalam Asean dan setelah itu menjatuhkan sekatan perdagangan dan ekonomi yang disasarkan terhadap junta tentera dan sekutu mereka," kata mereka.

Enam pemimpin itu adalah bekas ahli parlimen bagi Parlimen Kemboja, Sam Rainsy, anggota Majlis Perwakilan Rakyat Indonesia Fadli Zon, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Anwar Ibrahim, senator Filipina Kiko Pangilinan, bekas ahli parlimen Singapura Charles Chong dan bekas menteri kabinet Thailand Kasit Piromya.

 

Asean mempunyai 10 negara anggota yang kini dipengerusikan oleh Brunei. Setakat ini, Asean hanya meminta penyelesaian "yang diterajui orang tempatan" di kalangan pihak berkepentingan Myanmar.

Tentera Myanmar, yang dipimpin oleh Min Aung Hlaing, melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari, menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Ini menyebabkan tunjuk perasaan meluas di seluruh negara yang sebahagian besarnya berlangsung secara aman.

Namun, tentera telah bertindak balas dengan keganasan. Menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR), sekurang-kurangnya 149 individu telah terbunuh dan 2,084 ditahan secara sewenang-wenangnya sejak tunjuk perasaan bermula pada 1 Februari.

OHCHR mengatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya lima kematian dalam tahanan dalam beberapa minggu terakhir dengan sekurang-kurangnya dua mayat mangsa menunjukkan tanda-tanda "penderaan fizikal yang teruk yang menunjukkan bahawa mereka diseksa".