Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Tubuh panel industri antarabangsa bentuk dasar pelaburan baru

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jika pada Jan lepas ramai pemimpin korporat antarabangsa mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara terbuka di LinkedIn atas kemerosotan negara dalam menarik pelaburan, kini Bank Dunia pula telah melaporkan Malaysia ketinggalan dalam melakukan reformasi dasar pelaburan.

Laporan terbaru Bank Dunia perlu dipandang serius, Ia secara tidak langsung mengkritik kerajaan PN selepas pelaburan langsung asing bersih negara jatuh 56 peratus pada 2020.

Kegagalan PN itu memberi kesan kepada ekonomi rakyat termasuk peluang pekerjaan dan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Seperti yang dilaporkan dalam laporan Bank Dunia itu, dasar dan insentif dilaksanakan di negara kita pada masa lepas tidak lagi sesuai untuk memacu Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang menarik di rantau Asia.

Kita memerlukan pelan pelaburan jangka panjang yang memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan industri-industri baru yang mempunyai sinergi atau keberkaitan dengan industri-industri utama negara sedia ada.

Misalnya, kekuatan Malaysia dalam pembuatan semikonduktor dan peralatan elektronik boleh dikembangkan ke arah pembangunan industri berteknologi tinggi.

Sampai bila Malaysia mahu kekal menjadi pengeluar komponen untuk negara lain? Malaysia harus bangkit menjadi negara yang memperkenalkan teknologi berinovasi tinggi.

Untuk itu, kerajaan harus keluar daripada kekangan mentaliti tertutup dan mula memikirkan insentif serta dasar yang sesuai untuk menarik pelabur antarabangsa. Pada masa yang sama negara juga perlu membangunkan syarikat-syarikat tempatan.

Justeru, satu panel industri khusus wajar ditubuhkan untuk merangka dasar pelaburan jangka panjang negara. Setiap panel itu perlu memberi fokus kepada suatu industri baru tertentu yang ingin dibangunkan di Malaysia.

Panel ini juga harus terdiri daripada wakil syarikat-syarikat terkemuka dunia dalam industri yang berkaitan dan diselaraskan agensi kerajaan yang berkaitan.

Menerusi kaedah ini, insentif dan perancangan yang terkandung dalam dasar berkenaan akan relevan dengan kehendak pelabur seterusnya menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang utuh.

Usaha menarik pelaburan asing tidak harus terhenti setakat pemberian insentif sahaja, tetapi juga memerlukan perancangan yang lebih menyeluruh terutamanya dalam mengukuhkan modal insan berkemahiran tinggi, memupuk inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta meningkatkan persaingan pasaran.

Kegagalan kerajaan PN menguruskan negara kerana banyak bermain politik mewajarkan mandat rakyat dikembalikan kepada Pakatan Harapan (PH) supaya pembentukan suatu dasar pelaburan negara yang baru dapat dibuat segera.

Hal itu kerana PH sudah terbukti kemampuannya ketika 22 bulan pentadbiran apabiola FDI serta hasil negara dapat ditingkatkan.

Malaysia tidak mampu terus melengahkan usaha menarik pelaburan langsung asing. Jangan sampai negara-negara serantau seperti Vietnam dan Indonesia mengambil alih kedudukan Malaysia dari aspek pelaburan dan penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi.


FAIZ FADZIL ialah anggota Jawatankuasa Amanah Nasional dan Adun Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.