Skip to main
Logo Malaysiakini

Orang Asli dapat perintah injuksi sementara terhadap k'jaan Kelantan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perintah sementara mahkamah melarang kerajaan Kelantan daripada antaranya melakukan kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan di suatu kawasan hutan di Gua Musang, yang dituntut Orang Asli sebagai tanah warisan adat mereka.

Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bahru Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengizinkan permohonan mendapat perintah injunksi yang diminta oleh penduduk Kampung Kelaik.

Tiga individu Ahak Uda, Aziz Angah dan Anjang Uda mewakili 200 penduduk Orang Asli suku Temiar dari desa itu dalam kes tuntutan di mahkamah.

Peguam ketiga-tiga wakil penduduk Orang Asli itu, Rajesh Nagarajan mengesahkan keputusan mahkamah itu kepada Malaysiakini.

"Kami mendapat semua yang kami minta dalam permohonan untuk perintah injunksi itu," katanya.

Ini bermaksud mahkamah melarang sebarang kegiatan seperti membalak dan melombong di kawasan yang dituntut itu sehingga pendengaran kes berikutnya, yang dijadualkan pada 7 April.

Kampung Kelaik terletak di pedalaman Gua Musang, kira-kira satu setengah jam perjalanan dari bandarnya.

Sepuluh syarikat turut dilarang

Plaintif memfailkan permohonan perintah injunksi pada 11 Mac terhadap 14 defendan - termasuk kerajaan negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan Kelantan, Jabatan Tanah dan Galian Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta 10 syarikat.

Sepuluh syarikat berkenaan ialah Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd, Redstar Capital Sdn Bhd, Aqua Orion Sdn Bhd, Damat Corporate Services Sdn Bhd, Sindiyan Sdn Bhd, Sindiyan Agro Park Sdn Bhd, Ladang Kelantan Sdn Bhd, Ikrar Bumi Sdn Bhd, Ladang Ulu Nenggiri Sdn Bhd dan Iliasco Engineering and Construction Sdn Bhd.

Dengan itu mahkamah memerintahkan:

(1) melarang para defendan sama ada semua pihak berkenaan, penyedia perkhidmatan atau ejen daripada melakukan aktiviti perlombongan, pembalakan dan / atau perladangan di tanah adat Kampung Kelaik dan sekitarnya sehingga kes itu diputuskan sepenuhnya oleh mahkamah;

(2) melarang para defendan melakukan kegiatan sekunder yang berkaitan dengan kegiatan yang disenaraikan dalam (perintah 1) di tanah itu dan sekitarnya sehingga kes diputuskan sepenuhnya.

(3) melarang kerajaan negeri Kelantan sama ada semua pihak berkenaan, penyedia perkhidmatan atau ejen dan/ atau melalui bantuan atau nasihat daripada Jabatan Perhutanan Negeri atau Jakoa untuk meluluskan atau mengeluarkan sebarang lesen yang melibatkan tanah itu dan sekitarnya sehingga kes itu diputuskan sepenuhnya;

(4) melarang para defendan daripada membersihkan tanah dan/ atau tanaman, dusun warisan nenek moyang, hutan di sekitarnya dan/ atau memusnahkan tanah perkuburan nenek moyang dan/ atau bangunan di tanah dan sekitarnya hingga kes itu diputuskan sepenuhnya;

(5) melarang para defendan daripada mencemarkan sungai dan sumber air di tanah berkenaan dan sekitarnya; dan,

(6) melarang mana-mana pihak, individu dan/ atau syarikat daipada menceroboh tanah untuk melakukan pembalakan, perladangan, perlombongan dan/ atau aktiviti komersial untuk keuntungan atau aktiviti perniagaan apa pun di atas tanah berkenaan.

Plaintif berpendapat bahawa para defendan telah menceroboh tanah mereka dan memusnahkan tanaman, dusun dan kawasan hutan di sekitarnya yang digunakan oleh Kampung Kelaik untuk menampung kehidupan mereka.

Mereka juga mendakwa para defendan telah memusnahkan beberapa tanah perkuburan nenek moyang mereka.

Ketiga-tiga mereka mengatakan bahawa aktiviti komersial para defendan telah mencemarkan beberapa sungai yang digunakan oleh penduduk Kampung Kelaik untuk kegunaan air minum, memasak dan membasuh.

Perintah tersebut sebahagian daripada permohonan pihak plaintif untuk memohon pengisytiharan bahawa Orang Asli Kampung Kelaik adalah pemilik hak asal tanah adat warisan nenek moyang mereka.

[Baca laporan asal]