Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes rasuah Zahid: Pendakwaan tutup kes

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Setelah mendengar keterangan daripada 99 orang saksi berhubung kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan Ahmad Zahid Hamidi, pihak pendakwaan menutup kesnya pada hari ini.

Perkara itu dimaklumkan timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran kepada Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, setelah saksi terakhir, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khairudin Kilau.

Khairudin selesai memberikan keterangan setelah tiga hari.

“Pendakwaan selesai (memanggil saksi), Yang Arif.

“Kami ada saksi untuk ditawarkan, dan kami telah menyediakan senarai buat Yang Arif dan rakan bijaksana (peguam bela),” kata Raza Rozela sebelum membacakan senarai 37 saksi yang disenaraikan.

Antara saksi yang ditawarkan termasuklah isteri Ahmad Zahid, Hamidah Khamis; adik kandung Ahmad Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi; anak Ahmad Zahid, Nurulhidayah; serta ahli perniagaan, Khalid Mohamad Jiwa.

Collin memerintahkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan penghujahan bertulis sebelum 28 Mei, dan menetapkan 11 Jun sebagai tarikh mengemukakan jawapan balas.

Dia turut menetapkan tarikh 28 Jun hingga 2 Julai ini sebagai tarikh penghujahan lisan bagi kedua-dua pihak, sebelum memutuskan sama ada Ahmad Zahid dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Tarikh perbicaraan bermula sejak 18 November 2019 sehinggalah hari ini, yang merupakan hari ke-53.

Raja Rozela mengetuai pasukan pendakwaan, bersama timbalan pendakwa raya, Ahmad Sazilee, Abdul Khairi, Gan Peng Kun, Lee Keng Fatt, Harris Ong Mohd Jeffery Ong, Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin dan Mohd Afif Ali.

Pasukan pembelaan pula diketuai Hisyam Teh Poh Teik bersama Ahmad Zaidi Zainal, Hamidi Mohd Noh, Rosal Azimin Ahmad, Mohd Haziq Dhiyauddin Razali serta Aiman Abdul Rahman.