Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tak pernah lihat pertuduhan ahli politik sebanyak Zahid'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sepanjang bertugas sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seorang saksi mengaku inilah kali pertama dalam pengetahuannya, seorang ahli politik berdepan pertuduhan sebanyak Ahmad Zahid Hamidi, selepas pertukaran kerajaan.

Khairudin Kilau, saksi ke-99 perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahmad Zahid, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Hisyam Teh Poh Teik.

Khairudin adalah saksi terakhir pendakwaan dalam kes itu.

Hisyam: Dalam tempoh 20 tahun (bertugas sebagai pegawai SPRM), adakah Tuan Khairudin dapat lihat atau baca dari mana-mana tempat, bahawa seorang ahli politik, selepas kerajaan ditukar, telah dituduh sebanyak 47 pertuduhan.

Khairudin: Dalam pengetahuan saya, tiada.

Hisyam: Ini pertama kali?

Khairudin: Pengetahuan saya, pertama kali.

Ahmad Zahid pada awalnya dihadapkan dengan 45 pertuduhan pada 19 Okt 2018, sebelum dikenakan dua pertuduhan tambahan pada Disember 2018 dan Februari 2019.

Untuk rekod, bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman pernah dihadapkan ke mahkamah untuk 51 pertuduhan membabitkan kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram, sebelum berkurangan menjadi 46 pertuduhan kerana lima pertuduhan ditarik balik.

Kemudian, semua 46 pertuduhan digugurkan pada Jun tahun lepas.

Dalam pemeriksaan balas sama, Hisyam mencadangkan kepada Khairudin, pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas Ahmad Zahid sebenarnya tidak mempunyai asas dari segi fakta dan undang-undang.

Cadang Hisyam juga, kesemua pertuduhan ke atas Ahmad Zahid, dimulakan selepas pertukaran kerajaan - daripada BN kepada PH - dan semua pertuduhan tersebut adalah bermotifkan politik.

Pertuduhan itu, katanya, dikenakan memandangkan Ahmad Zahid merupakan presiden Umno pada masa material.

Hisyam turut mencadangkan kepada Khairudin, pertuduhan seperti yang dikemukakan ke atas Ahmad Zahid itu akan menjatuhkan nama baik sesiapa pun juga orang yang menghadapinya.

Khairudin tidak bersetuju dengan cadangan-cadangan tersebut.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Khairudin merupakan pegawai penyiasat yang bertanggungjawb terhadap 12 pertuduhan pecah amanah dihadapi Ahmad Zahid.

'Alamat kadang-kadang berbeza'

Dia mengambil masa tiga hari untuk memberikan keterangan, sebelum pendakwaan menutup kes hari ini pada hari ke-53 perbicaraan.

Dalam pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt, Khairudin diminta menjelaskan jawapan yang diberikannya semasa disoal balas peguam bela Ahmad Zaidi Zainal semalam.

Antaranya, berkenaan alamat berdaftar yang katanya “kadang-kadang” berbeza daripada alamat perniagaan.

Kata Khairudin, berdasarkan maklumat syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk Yayasan Akalbudi, hanya ada alamat berdaftar sahaja sedangkan tiada alamat dinyatakan di ruang alamat perniagaan.

“Kerana yayasan bukan sebuah syarikat perniagaan,” katanya yang turut mengakui alamat berdaftar itulah yang dikunjunginya semasa siasatan, tetapi tiada pejabat yang ditemukan.

Dia turut menjelaskan notis resolusi yang dibangkitkan Ahmad Zaidi semalam, yang menurut Khairudin, bertujuan untuk meminda objektif Yayasan Akalbudi. Pindaan itu, katanya, tidak berjaya.

Lee: Sekiranya pindaan ini tidak diluluskan, apakah kesan sekiranya Yayasan Akalbudi memberikan pinjaman?

Khairudin: Yang Arif, kesannya, Yayasan Akalbudi telah tidak mengikut objektif yang terkandung dalam memorandum dan artikel pertubuhan (Yayasan Akalbudi) ini.

Semalam, Khairudin menjelaskan objektif Yayasan Akabudi adalah untuk menjalankan program pembasmian kemiskinan dan membantu orang miskin.

Semasa pemeriksaan semula oleh Raja Rozela Raja Toran pula, Khairudin berkata siasatannya mendapati tiada keterangan lisan atau dokumen yang menunjukkan Tetuan Lewis & Co sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi - seperti yang dicadangkan pembelaan di sepanjang perbicaraan.

Tentang cadangan Hisyam semasa pemeriksaan balas sebelumnya pula, Khairudin menegaskan yang siasatan SPRM dalam kes tersebut tidak bermotifkan politik.

Raja Rozela: Dan akhir sekali, siasatan tuan di SPRM terhadap Datuk Seri (Ahmad Zahid), adakah ia bermotifkan atau dibuat untuk menjatuhkan reputasi Datuk Seri?

Khairudin: Tidak sama sekali, Yang Arif.

Usai keterangan Khairudin, pendakwaan menutup kesnya dan menawarkan 37 saksi terhadap pembelaan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan penghujahan bertulis sebelum 28 Mei, dan menetapkan 11 Jun sebagai tarikh mengemukakan jawapan balas.

Dia turut menetapkan tarikh 28 Jun hingga 2 Julai ini sebagai tarikh penghujahan lisan bagi kedua-dua pihak, sebelum memutuskan sama ada Ahmad Zahid dibebaskan daripada pertuduhan atau diperintahkan untuk membela diri.