Skip to main
Logo Malaysiakini

PM gesa tentera Myanmar henti tindakan ganas, bebaskan Suu Kyi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap krisis politik di Myanmar serta mengecam tindakan ganas terhadap orang awam, susulan rampasan kuasa tentera Februari lalu.

Malaysia juga menggesa pemimpin politik negara itu, termasuk Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi dan Presiden Win Myint, dibebaskan.

Perkara itu disuarakan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini.

"Penggunaan peluru hidup dalam protes aman tidak boleh diterima. Keadaan yang amat buruk ini perlu dihentikan segera.

“Kepimpinan tentera di Myanmar digesa untuk mengubah cara dan memilih jalan ke arah penyelesaian aman. Keganasan hanya akan menambahkan keganasan dan masa depan negara mungkin berdepan kehancuran yang sukar dipulihkan.

"Kami di Malaysia dan seluruh komuniti Asean tidak boleh melihat saudara kami, Myanmar menjadi begitu tidak stabil akibat beberapa pihak yang mempunyai kepentingan peribadi," kata Muhyiddin.

Pada Februari lalu, tentera Myanmar menggulingkan kerajaan pimpinan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dan menahan sejumlah pemimpinnya atas tuduhan penipuan dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Ia mencetuskan protes besar-besaran yang berlanjutan sehingga kini. Setakat ini, dilaporkan sekurang-kurangnya 233 orang telah maut dengan pihak berkuasa membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang hari ini.

Muhyiddin berkata Malaysia sekali lagi menggesa semua pihak terlibat untuk bersama-sama menyelesaikan krisis yang berlaku secara aman.

"Dalam soal ini, saya menggesa pembebasan segera dan tanpa bersyarat para pemimpin politik, termasuk Aung San Suu Kyi dan U Win Myint, yang telah ditahan sewenang-wenangnya sejak 1 Februari.

Dia juga menyuarakan sokongan terhadap gesaan Presiden Indonesia, Joko Widodo agar sidang kemuncak tergempar Asean diadakan bagi membincangkan situasi di Myanmar.