Skip to main
Logo Malaysiakini

Zahid: Media sosial saluran Umno 'direct sound' kerajaan PN

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia percaya segelintir ahli parlimen parti itu yang menyertai pentadbiran dan kabinet PN pimpinan Muhyiddin Yassin "tidak boleh membuat keputusan atau dasar secara individu."

Lantaran itu, kata Zahid, media sosial menjadi antara platform Umno untuk "menyuarakan permasalahan rakyat dan negara terutama pada waktu parlimen terus digantung."

"Walaupun mereka (MP Umno anggota kabinet PN) maklum apa-apa isu dibangkitkan Umno, sebarang ketetapan masih perlu dibuat melalui kerajaan PN yang didominasi pimpinan parti lain.

"Justeru, media sosial sebagai saluran Umno yang seterusnya dalam usaha menyampaikan mesej rakyat kepada kerajaan secara lebih jelas - direct sound," katanya pada satu hantaran di media sosial hari ini.

Menurut Zahid, kerajaan yang mentadbir negara hari ini adalah kerajaan PN, bukan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Muafakat Nasional (MN).

"Umno bukan sebahagian kerajaan PN. Umno cuma menyokong pembentukan kerajaan PN," jelas Zahid.

Tanpa menamakan pihak yang dimaksudkannya, presiden Umno itu berkata terdapat "pasukan propaganda" yang memainkan naratif Umno tidak sepatutnya mempersoalkan dasar-dasar kerajaan sedia ada secara terbuka di media sosial.

"Dengan alasan terdapat ahli parlimen Umno sedang menyertai pentadbiran kerajaan PN termasuk sebagai anggota kabinet. Boleh beritahu sahaja kepada mereka.

"Walhal sudah banyak kali perkara ini diperjelaskan sama ada yang terus mempertikaikan ini masih tidak tahu atau buat-buat tidak tahu," katanya lagi.

Jelas Zahid, Umno bukan lagi pembuat dasar seperti sebelum PRU14.

"Jika BN masih mentadbir negara, Umno boleh terus mengambil tindakan seeloknya," katanya.

Sejak hubungan Umno dan Bersatu dikatakan retak, Zahid serta bekas perdana menteri Najib Razak dilihat antara pimpinan parti yang terkedepan mengkritik kerajaan PN dalam pelbagai isu semasa, antaranya SOP Covid-19, layanan dua darjat dan kesusahan rakyat akibat dampak pandemik.

Hujung Feb lalu, Zahid mengutus surat kepada presiden Bersatu memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi Umno bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Umno juga menggesa sidang parlimen diadakan segera, sesuatu yang berlawanan dengan keputusan kabinet PN susulan proklamasi darurat dilaksanakan pada Januari tahun ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Bawah pelaksanaan darurat tersebut, sebarang persidangan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah ditangguhkan, perkara itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir wakil rakyat dari Umno dan pembangkang.

Terdahulu, Menteri Undang-undang, Takiyuddin Hassan menjelaskan keputusan penangguhan sidang parlimen dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan Covid-19 dalam bangunan parlimen.

Selain itu Takiyuddin memaklumkan sebahagian ahli parlimen merupakan warga emas yang berusia 61 tahun ke atas dan berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

Malah, kerajaan turut memperkenalkan Ordinan Berita Palsu bagi mengekang sebarang berita palsu berhubung Covid-19 bawah proklamasi darurat itu.