Skip to main
Logo Malaysiakini

Minta rasuah seks: SPRM Sabah tahan ketua jabatan kerajaan negeri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang ketua jabatan kerajaan negeri kerana disyaki meminta rasuah berbentuk perkhidmatan seks daripada seorang wanita semalam.

Lelaki berusia 51 tahun yang bertugas di Keningau itu ditahan pada 3.30 petang di sebuah hotel.

Dipercayai perkhidmatan seks itu adalah sebagai suapan untuk suspek memberikan sokongan kepada wanita tersebut mendapatkan pinjaman dalam sektor pertanian.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata suspek ditahan selama 24 jam untuk diambil keterangan dan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Karunanithy turut menjelaskan bahawa tafsiran suapan di bawah Seksyen 3 Akta SPRM 2009 meliputi pelbagai perkara termasuk pinjaman, jawatan dan perkhidmatan seperti seks.

- Bernama