Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas kerani sekolah didakwa ubah wang haram hasil seludup gading gajah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pesara kerani sekolah berdepan lapan dakwaan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, hari ini, atas pertuduhan melakukan jenayah pengubahan wang haram termasuk unit saham bernilai RM753,220 hasil aktiviti penyeludupan dan jual beli gading gajah, sejak empat tahun lalu.

Tertuduh, Md Nawi Ab Aziz, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Mohd Rosly Mohamed Nawi.

Dalam pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa memperoleh wang RM239,260 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun bank miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Bank CIMB cawangan Pasir Mas pada 29 April 2017 hingga 19 Oktober 2019.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, Md Nawi didakwa memperoleh unit amanah saham berjumlah 104,000 unit yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun amanah saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB) miliknya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di PNB cawangan Amanah Saham Nasional Berhad, Jalan Kebun, Kota Bharu pada 24 Julai hingga 16 Ogos 2017 dan 23 September 2019.

Kelima-lima pertuduhan didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu pertuduhan keenam hingga kelapan pula, tertuduh didakwa menyembunyikan wang berjumlah RM409,960 yang dimasukkan ke dalam akaun simpanan bank CIMB miliknya bermula 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2019.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Md Nawi di Bank CIMB Berhad Cawangan Pasir Mas pada 30 Jun 2018 dan 30 Jun 2020.

Bagi tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(d) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nor Erini Mustapha.

Terdahulu, Rohaiza memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM160,000 untuk semua pertuduhan berkenaan, manakala Nor Erini dalam rayuannya memohon ikat jamin antara RM20,000 hingga RM40,000 ditetapkan kepada anak guamnya.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan tertuduh dikenakan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan sebutan semula kes pada 22 April depan.