Skip to main
Logo Malaysiakini

Darurat: 2 pemimpin PKR mohon jadi pencelah saman Bersih

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dua pemimpin PKR memfailkan permohonan sebagai pencelah dalam saman Bersih dan sejumlah NGO terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Senator Mohd Yusmadi Yusoff dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu.

Pada 2 Februari lalu, Bersih dan enam NGO mengumumkan mereka memfailkan saman pemula terhadap Ordinan Darurat yang membolehkan penggantungan Parlimen sepanjang tempoh penguatkuasaannya.

Ia melibatkan Seksyen 14 Ordinan Darurat.

Menurut salinan afidavit sokongan bagi permohonan mencelah itu, Yusmadi berkata dia dan Shamsul tidak dapat melaksanakan tugas membawa isu berkaitan kepentingan rakyat di Parlimen.

Dia mendakwa penggantungan Parlimen telah menghalang mereka untuk memenuhi tugas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan persekutuan untuk menyoal dan membahas tindakan Eksekutif di Parlimen.

Yusmadi dan Shamsul juga berkata mereka ada tanggungjawab untuk membahas dan mengundi proklamasi darurat dan Ordinan Darurat.

Parlimen adalah institusi yang membolehkan semak dan imbang terhadap cabang Eksekutif, kata mereka lagi.

Kerajaan Malaysia terbahagi kepada tiga cabang, iaitu Eksekutif (jemaah menteri), Legislatif (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) dan Kehakiman (Mahkamah).

"Sebagai Ahli Parlimen, Shamsul dan saya mempunyai tanggungjawab fidusiari kepada rakyat Malaysia.

"Seksyen tersebut menghalang kami daripada melaksanakan tanggungjawab kami.

"Oleh itu, isu-isu dalam saman pemula tersebut mempunyai kesan langsung ke atas Shamsul dan saya, terutama atas kapasiti kami sebagai Ahli Parlimen. Ia adalah wajar dan adil agar Shamsul dan saya dinamakan sebagai pencelah dalam prosiding ini," katanya.

Mereka diwakili pasukan peguam yang diketuai Malik Imtiaz Sarwar.

Selain Bersih dan enam NGO tersebut, pihak lain yang telah membawa pengisytiharan darurat ke mahkamah ialah Presiden PKR Anwar Ibrahim, tiga wakil rakyat pembangkang, dan bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan.

Bagaimanapun semakan kehakiman tiga wakil rakyat pembangkang itu, iaitu Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan Adun Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari, telah ditolak pada 11 Mac lalu.