Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu pengangguran: Kula gesa menteri jelaskan jangkaan 'keadaan akan stabil'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran mengecam dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Mustapa Mohamed bahawa kadar pengangguran dijangka stabil pada pertengahan tahun ini, dengan mengatakan bahawa kerajaan gagal mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi.

Menyorot bahawa pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia turun 56 peratus kepada AS$3.4 bilion (RM14 bilion), bekas menteri sumber manusia itu mengatakan pekerjaan baru tidak akan dihasilkan tanpa rancangan yang kukuh untuk mengatasi penurunan FDI ini.

Kulasegaran mengatakan dia merasa terkejut apabila Mustapa sekadar menyatakan jangkaan dan harapan agar keadaan bertambah baik pada pertengahan tahun ini.

"Sebagai menteri, saya merasa bahawan kenyataan itu sama sekali tidak bertanggungjawab. Tidak ada gunanya memberitahu media bahawa anda mengharapkan sesuatu ketika anda sekarang berada dalam posisi untuk melakukan sesuatu.

"Tolong, Tuan Menteri, tinggalkan harapan kepada rakyat Malaysia, kerana ada di antara mereka yang berada dalam situasi terdesak dalam soal ekonomi dan pekerjaan.

"Sebagai menteri, anda gagal memberikan jalan keluar untuk mengatasi pengangguran yang meningkat, hanya sekadar menyatakan harapan," kata Kulasegaran.

Dia menggesa Mustapa untuk menjelaskan jangkaannya bahawa situasi akan stabil pada pertengahan tahun ini.

"Biarkan saya memberikan asas di mana saya menyimpulkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal.

"Menurut Jabatan Statistik, pada Januari 2021, kadar pengangguran belia bagi mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun terus meningkat sebanyak 0.3 mata peratusan menjadi 13.5 peratus bulan ke bulan," kata Kulasegaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Mustapa Mohamed

Jelasnya situasi sama juga pengangguran belia yang berumur 15 hingga 30 tahun yang meningkat 0.5 mata peratus menjadi 9.2 peratus berbanding Disember 2020.

"Sehingga hari ini belum ada rancangan konkrit untuk mengatasi hal ini, jadi bagaimana pekerjaan baru akan diciptakan?

"Mungkin Mustapa seharusnya kurang berharap dan sebaliknya merumuskan dasar yang lebih baik untuk mewujudkan pekerjaan baru.

"Hanya sehingga itu dilaksanakan, rakyat Malaysia akan berhati-hati dalam berharap," tambahnya.