Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Isu keling: Membidas Ramasamy dengan fakta sejarah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Nusantara menjadi medan turun naiknya pengaruh sesuatu agama yang dianuti oleh penduduk dunia.

Ada yang bertanya kenapa rumpun Melayu Nusantara ramai menganuti agama Islam yang berasal daripada "padang pasir"?

Untuk memahaminya perlulah kita meneliti sejarah secara berlapang dada.

Nenek moyang rumpun Melayu di zaman pra-Srivijaya rata-ratanya menganuti kepercayaan Hinduisme.

Majoritinya menjadi pengikut Dewa Shiva dan Vishnu.

Ia bercampur aduk dengan kepercayaan memuja elemen alam semula jadi di sesuatu tempat, menjadikan rumpun Melayu ketika itu antara komuniti manusia yang cukup kuat perasaan kerohaniannya.

Antara kerajaan-kerajaan Hindu rumpun Melayu di zaman sebelum empayar Srivijaya ialah Tambralinga yang berpusat di Ligor (kini dalam Thailand), kerajaan Kalingga di Jawa Tengah, kerajaan Kutai di Timur Kalimantan, kerajaan Zamin Turan di Kedah oleh Merong Mahawangsa, kerajaan Gangga Nagara di Beruas, Perak dan kerajaan Chih Tu (Tanah Merah) di Kelantan.

Raja Melayu ketika itu dianggap sebagai wakil dewa di bumi.

Ajaran Hindu dipercayai dibawa oleh para pedagang dari benua kecil India, secara spesifiknya oleh etnik Kalinga daripada Odisha bersama tulisan Pallava dan bahasa Sanskrit - yang kelak memperkayakan perkembangan bahasa Melayu kuno.

Mereka inilah yang digelar sebagai "Keling" oleh nenek moyang rumpun Melayu.

Hingga ke hari ini, masyarakat Hindu di wilayah Odisha, pantai timur India menyambut perayaan Bali Yatra sempena pelayaran nenek moyang mereka ke Pulau Bali membawa agama Hindu dalam misi perdagangan ke Nusantara.

Lalu tibalah era empayar Srivijaya terbentuk di Nusantara dalam abad ke-7 oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa selaku Maharaja Srivijaya yang pertama.

Pada awalnya pemerintah empayar ini menganuti agama Hindu.

Kemudiannya apabila mereka berhubungan dengan keluarga diraja Sailendra di Jawa Tengah, yang dipercayai berasal daripada keturunan empayar Funan di Indo-China, mengikut pendapat pengkaji sejarah Perancis bernama Coedes (1934), sedikit demi sedikit pengaruh Buddha Mahayana menyerap ke dalam empayar Srivijaya.

Ia kemudian dikembangkan lagi menjadi agama Buddha aliran Vajrayana anutan empayar tersebut.

Pada abad ke-9, candi Borobudur dibina oleh Dinasti Sailendra yang ketika itu berkuasa dalam empayar Srivijaya di Jawa Tengah.

Ia merupakan infrastruktur keagamaan (Buddha Mahayana) yang terbesar di dunia, jauh lebih besar daripada candi Lembah Bujang di Kedah atau dibandingkan dengan kompleks Kuil Hindu Prambanan zaman Dinasti Sanjaya di kota Jogjakarta.

Malah kawasannya lebih luas daripada Kota Angkor Wat Empayar Khmer di Kemboja.

Begitu hebatnya binaan rumpun Melayu Dinasti Sailendra zaman Srivijaya ketika itu.

Serangan Empayar Tamil Chola

Namun kehebatan Srivajaya mengundang pencerobohan kuasa asing apabila armada Empayar Tamil Chola daripada Selatan India menyerang pusat-pusat Empayar Srivijaya tersebut terutamanya Kedah.

Ia lantas melumpuhkan kekuasaan Srivijaya serta pengaruh agama Buddha di Nusantara secara beransur-ansur seiringan dengan hadirnya agama Islam ke rantau ini pada zaman Khilafah Umayyah di Timur Tengah.

Pencerobohan Empayar Tamil Chola terhadap dunia Melayu Nusantara pada tahun 1025 merupakan detik sejarah apabila kerajaan yang terkenal dengan agama Hindu daripada benua kecil India memusuhi Srivijaya, empayar maritim berasaskan agama Buddha yang turut tergolong dalam kategori agama "Dharma" sama seperti Hindu, kerana mempunyai asal-usul yang berkait.

Sungguhpun perseteruan itu mungkin bersifat politik atau persaingan kuasa semata-mata namun konflik berdarah tersebut telah menyebabkan rumpun Melayu Nusantara tidak lagi mempunyai hubungan rapat dengan mana-mana kerajaan daripada benua kecil India seperti sebelumnya, kecuali beberapa proksi Chola di Kedah dan utara persisiran Sumatera.

Pengaruh kebudayaan dan kepercayaan yang berasal daripada benua kecil India terhadap rumpun Melayu terutamanya di Semenanjung Tanah Melayu makin terhakis apabila Empayar Langkasuka di zaman Dinasti Chermin (ketika itu berpusat di Kelantan-Patani) yang muncul setelah keruntuhan Empayar Srivijaya menghadapi serangan demi serangan daripada utara (Segenting Kra) oleh satu lagi kuasa asing yang berpaksikan agama jenis Dharma, iaitu Empayar Sukothai.

Ia merupakan kerajaan etnik Thai yang beragama Buddha aliran Theravada daripada kawasan yang dikenali sebagai Siam.

Ligor merupakan antara kota kerajaan Melayu yang terawal jatuh ke tangan etnik Thai dalam misi penjajahan bangsa tersebut untuk menakluki dunia Melayu Nusantara di zaman pasca- Srivijaya.

Tatkala melihatkan pertalian agama jenis Dharma tidak lagi boleh memberikan keselamatan atau pelindungan dalam hubungan diplomatik antara rumpun Melayu dengan bangsa-bangsa asing di perbatasan Nusantara, diperhebatkan lagi dengan ketelusan akhlak pedagang Muslim yang hadir berniaga secara adil dan usaha dakwah yang bijaksana, maka Islam menjadi agama pilihan yang makin popular terutama di zaman Empayar Melayu Melaka.

Tamadun Islam daripada Timur Tengah dilihat maju daripada segi pencapaian teknologi malah penerimaan Islam oleh raja-raja rumpun Melayu ketika itu menjadi faktor kaum pribumi memeluk Islam beramai-ramai.

Majapahit merupakan empayar rumpun Melayu (Jawa) di Nusantara yang terakhir berakidah agama jenis Dharma iaitu Hindu.

Satu persatu kerajaan rumpun Melayu di rantau Asia Tenggara menjadi kerajaan Islam sehingga ke Kepulauan Sulu di Filipina dan Makassar di selatan Pulau Sulawesi.

Hanya sebilangan kecil sahaja kerajaan rumpun Melayu yang kekal menganuti agama jenis Dharma seperti Hindu contohnya di pulau Bali atau masih mengamalkan kepercayaan animisme di kawasan pedalaman jauh dari persisiran pantai sekitar Nusantara menjelang abad ke-16.

Kedatangan penjajah Barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris tidak berjaya memurtadkan majoriti rumpun Melayu Nusantara kepada agama Kristian kerana kehadiran "Orang Putih" secara biadab serta kelicikan bangsa itu memanipulasi persengketaan dalaman kerajaan-kerajaan Nusantara akhirnya memberi imej buruk terhadap kepercayaan yang dianuti oleh penjajah Barat tersebut.

Kristian hanya berjaya dikembangkan secara berleluasa di Filipina di zaman penjajahan Empayar Sepanyol yang ketika itu cukup agresif dengan polisi inquisition terhadap para pribumi koloni jajahannya.


DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.