Skip to main
Logo Malaysiakini

MP DAP gesa projek Suke dihenti bagi siasatan bebas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli parlimen DAP hari ini mendesak kerajaan segera menghentikan keseluruhan projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke), susulan insiden satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya itu di Puncak Bayan, Persiaran Alam Damai, Cheras, semalam.

Selain daripada menghentikan pembinaan projek tersebut, mereka juga mahu satu siasatan bebas dibuat berhubung insiden yang berlaku dalam tempoh enam bulan yang telah menyebabkan lima kematian.

Mereka juga mempersoalkan apakah Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof "melindungi" kontraktor projek dengan mengatakan bahawa mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum siasatan lengkap selesai.

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dalam sidang medianya selepas bertemu dengan wakil Prolintas Sdn Bhd di lokasi kejadian berkata pihaknya dimaklumkan bahawa kawasan kemalangan terbabit telah dihentikan kerja-kerja pembinaan.

"Kami mahu menteri (Fadillah) segera mengeluarkan arahan kerja-kerja pembinaan dihentikan di sepanjang lebuh raya itu bagi memastikan keselamatan orang ramai. Kerana keselamatan awam adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromikan,” katanya.

Tan juga mendesak Putrajaya untuk mengikut langkah kerajaan negeri Pulau Pinang dengan mengadakan suruhanjaya siasatan mengenai kemalangan pembinaan.

"Siasatan dalaman mesti dilakukan oleh panel bebas. Tidak berat sebelah,” tambahnya.

Turut berada di lokasi kejadian Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.

Menurut Ong, dia curiga dengan kenyataan yang dibuat Fadillah, semalam.

"Saya tahu, mungkin Fadillah adalah seorang yang sangat cekap, tetapi saya ada sedikit keraguan. Bagaimana siasatan awal boleh dibuat dengan begitu cepat dan mendapati kontraktor projek tidak bersalah?

"Mungkin nanti ada penemuan yang akan diubah.

"Tetapi mengapa dia begitu bersemangat atau yakin untuk melindungi kontraktor terbabit? Ini adalah satu perkara yang saya tidak faham," katanya.

Fadillah semalam dilaporkan berkata "siasatan awal" mendapati kontraktor projek Suke "telah mematuhi SOP yang ditetapkan".

Siasatan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi semalam, tiga pekerja warga asing maut sementara seorang pemandu kenderaan cedera apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh serta menghempap sebuah kenderaan di kawasan pembinaan tersebut.

Awal bulan ini, pada 3 Mac, seorang pemandu treler merempuh tapak pembinaan lebuh raya Suke yang menyebabkan ia runtuh dan mengakibatkan dua kematian. Pemandu itu kemudiannya didapati positif metamfetamin.

Kejadian itu berlaku di hadapan pangsapuri Desa Tasik, berhampiran terminal bas Bandar Tasik Selatan dan di sepanjang Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke arah Pandan Indah menuju ke Ampang.

Pada September 2020, sebuah konkrit jatuh menghempap kenderaan yang menyebabkan kecederaan kepada pemandu. Kontraktor utama Suke MRCB Builders Sdn Bhd dan subkontraktor Makna Setia Sdn Bhd kemudiannya didenda sebanyak RM180,000 kerana gagal memastikan keselamatan.

Awal bulan ini, sebuah treler merempuh tapak binaan Suke dan menyebabkan jambatan yang belum siap runtuh menghempap sebuah van. Dua maut dan tiga lagi cedera dalam kejadian itu.

CIDB melancarkan siasatan tetapi hasil siasatan berlum diumumkan.

MP gesa Prolintas maklumkan perkembangan terperinci 

Semalam, kren pembinaan Suke rebah dari ketinggian 120 kaki dan menghempap kereta di bawahnya. Tiga pekerja binaan warganegara China maut. Pemandu kereta itu, yang merupakan rakyat Malaysia, cedera parah.

Mayat salah seorang pekerja yang maut masih terperangkap di lokasi dan operasi mengeluarkan mayat itu sedang dijalankan. Lalu lintas telah dialihkan.

Antara subkontraktor Suke adalah China Communications Construction Co Ltd (Schol) yang berpusat di Beijing, Jetson Construction Sdn Bhd, Econpile Holdings Bhd dan Zelan Bhd.

Selain Tan dan Ong, turut hadir dalam taklimat dan sidang media itu ialah Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun, Adun Balakong, Wong Siew Ki, Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof dan Adun Teratai, Bryan Lai.

Ong meminta Prolintas untuk mengemas kini perkembangan kepada persatuan penduduk dan perwakilan tempatan secara peribadi mengenai projek itu, terutama kawasan terjejas.

Dia kecewa apabila seorang pegawai Prolintas mencadangkan agar mereka memeriksa akaun media sosial Suke untuk mendapatkan kemas kini.

"Bukan itu yang saya mahukan. Saya mahukan taklimat terperinci,” katanya kepada media.