Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno berhimpun hujung bulan ini dalam norma serba baru

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadualkan pada 27 dan 28 Mac ini akan berlangsung dalam suasana baru sesuai dengan situasi semasa yang masih dibayangi ancaman Covid-19.

Secara tradisinya acara tahunan yang mengumpulkan ahli dan pemimpin Umno itu berlangsung secara meriah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) setiap tahun.

Selain itu peniaga juga menggunakan ruang yang ada untuk mencari laba melalui jualan yang berlangsung sepanjang tempoh PAU berjalan.

Namun disebabkan pandemik Covid-19, Umno terpaksa mengubah "tradisinya" apabila tiada gerai jualan dibuka, selain ahli parti yang bukan menjadi perwakilan juga tidak dibenarkan hadir.

Begitu juga dengan media - petugasnya tidak benarkan membuat liputan di dalam dewan persidangan, sebaliknya perlu berada di bilik media yang disediakan pihak penganjur.

Semua itu dimaklumkan dalam taklimat media hari ini.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, dalam kenyataan memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meluluskan PAU kali ke-74 itu dibenarkan berlangsung berdasarkan syarat ditetapkan mereka.

“MKN Wilayah Persekutuan meluluskan PAU 2020 melalui surat bertarikh 19 Mac 2021.

“Perbincangan setiausaha agung Umno dengan Pengarah MKN Wilayah Persekutuan dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi juga telah diadakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahmad, Umno akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) seperti mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, mengimbas MySejahtera dan sanitasi tangan.

Selain itu katanya, bagi tujuan pematuhan SOP, Umno akan menambah anggota keselamatan seperti Rela dan Skuad Sabil.

“Pemerhati daripada orang awam dan ahli Umno yang bukan perwakilan tidak dibenar hadir ke PWTC kali ini," katanya lagi.