Skip to main
Logo Malaysiakini

Anggota polis cedera di leher kena tali tangsi bukan angkara sabotaj

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis menafikan kejadian seorang anggotanya cedera di leher selepas terkena tali tangsi di susur masuk ke Lebuhraya Utara Selatan (Plus) di Sungai Dua di Butterworth Ahad lepas angkara sabotaj atau berunsur khianat seperti yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata sebaliknya pemeriksaan pihaknya bersama Plus mendapati tali tangsi yang merentangi jalan dari jejambat berhampiran susur itu dipercayai tali layang-layang yang kemungkinan terputus di situ.

"Kejadian berlaku pada pukul 4.30 petang itu, semasa seorang anggota polis lelaki berpangkat L/Kpl dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU selepas selesai tugas dengan menunggang motosikal, dan sebaik tiba di KM129.6 arah utara, tiba-tiba lehernya tersangkut pada tali tangsi yang melintang jalan sehingga menyebabkan kecederaan.

"Anggota itu sempat memberhentikan motosikal dan beberapa pengguna lebuhraya membantu beliau sebelum dia dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut. 

"Anggota itu mengalami kecederaan luka di bahagian leher depan dan belakang, luka di jari tangan kiri serta bahu kanan," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya kejadian itu menjadi tular hari ini di Facebook, dan ada yang mendakwa anggota polis itu nyaris meninggal dunia akibat insiden yang kononnya mempunyai unsur sabotaj serta khianat berkenaan.

"Tiada unsur khianat atau sabotaj, malah pemeriksaan pihak Plus di lokasi kejadian telah menjumpai tali tangsi dalam keadaan berselerak di sekitar rumput di bahu jalan sebelah kiri yang tidak terikat pada mana-mana objek, kemungkinan ia tali layang-layang yang telah terputus," katanya.

- Bernama