Skip to main
Logo Malaysiakini

Zulkifli: Suntik vaksin Covid-19 ketika Ramadan tak batal puasa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suntikan vaksin Covid-19 pada bulan Ramadan adalah harus dan tidak membatalkan puasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam telah memutuskan perkara itu dua bulan lepas.

"Untuk vaksin Covid-19, kita putuskan dalam majlis fatwa dan juga fatwa-fatwa lama (pernah menyentuh) kalau berkenaan dengan suntikan vaksin, tiada masalah ia dibolehkan.

"Jika kita lihat sekarang, seluruh dunia membenarkan (suntikan vaksin pada bulan Ramadan) dan terbaru kita menerima pandangan daripada Mufti Besar Arab Saudi (Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh) yang menyatakan keharusan untuk bervaksin sekalipun pada bulan Ramadan dan tidak membatalkan puasa," katanya kepada pemberita di Kolej Uniti Port Dickson, di Port Dickson, hari ini.

Justeru, beliau berkata dengan pandangan Mufti Besar Arab Saudi itu, ia selaras dengan pandangan ahli fatwa di negara ini.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bertemakan “Lindung Diri, Lindung Semua” dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Feb lepas dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin itu.

Terdahulu, Zulkifli menyempurnakan majlis penyerahan komputer riba kepada 40 pelajar asnaf di kolej tersebut menerusi zakat Tabung Haji (TH) Travel.

Beliau yang merupakan bekas pensyarah di kolej itu turut memberikan kata-kata semangat kepada pelajar supaya terus cemerlang dalam bidang masing-masing dan berbakti kepada negara.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.