Skip to main
Logo Malaysiakini

Senator cadang Muhammad Haji Salleh Yang Dipertua Negeri baru P Pinang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Senator PKR Yusmadi Yusoff mencadangkan sasterawan negara Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh dipilih sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang baru bagi menggantikan Tun Abdul Rahman Abbas yang akan tamat perkhidmatan April depan.

Yusmadi yang juga bekas ahli Parlimen Balik Pulau berkata, dia membuat cadangan itu kerana merasakan Pulau Pinang memerlukan tokoh yang mampu memberi inspirasi kepada penduduk negeri itu.

"Bagi saya kita perlukan tokoh-tokoh yang memberikan inspirasi dan salah satu perkara yang perlu diperlihatkan adalah kebudayaan dan keilmuan.

"Memandangkan perkara ini masih belum muktamadkan, saya rasa tak salah untuk saya selaku senator yang mewakili Pulau Pinang, yang kebetulan anak jati Pulau Pinang, mencadangkannya. Di kala ini negeri memerlukan jiwa, orang yang mampu menginspirasi jiwa.

"Jadi, saya rasa tokoh yang sangat relevan ialah tokoh budayawan seperti Muhammad Haji Salleh, yang kebetulan baru saja meluncurkan buku barunya yang berkaitan Melayu Pulau Pinang. Beliau juga amat konsisten dalam memperjuangkan isu-isu dalam negeri," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, media melaporkan dua nama sedang dipertimbang untuk menjadi Yang Dipertua Negeri baru, iaitu Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Mohd Yussof Latiff dan bekas ahli Parlimen Balik Pulau, Dr Hilmi Yahaya.

Katanya, cadangan nama tersebut juga dibuat setelah melihat barisan nama yang dicadangkan bagi kedudukan itu di media baru baru ini.

Yusmadi Yusoff

"Apabila saya melihat nama-nama tersebut, mereka semuanya dalam satu kategori iaitu politik.

"Pada pandangan saya, Yang Dipertua Negeri adalah jawatan yang melambangkan rakyat Pulau Pinang, yang mana saya rasa selain aspek politik, antara aspek yang dibanggakan penduduk negeri ialah kebudayaan, keilmuan serta sains.

"Dengan mengambil kira perkara itu dan kedudukan Pulau Pinang sebagai antara negeri yang maju di Malaysia, saya percaya hal yang menyumbang ke arah kehebatan Pulau Pinang dan kebanggaan kami hari ini bukan saja yang bersifat politik.

"Ia juga merupakan sumbangan tokoh inteletual dan budayawan. Profesor Muhammad haji Salleh antara tokoh budayawan yang banyak menyumbang kepada khazanah pemikiran orang Melayu dan warga Pulau Pinang khususnya," katanya lagi.

Bagaimanapun, Yusmadi berkata dia maklum dari segi aspek perundangan calon-calon tersebut juga mestilah dicadangkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang serta dipersetujui oleh Yang Dipertuan Agong.

Lahir pada 1942, Muhammad dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada 1991.

Terbaru Muhammad menterjemahkan Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang kepada bahasa Inggeris, bertajuk The Genealogy of Kings, yang diterbitkan Penguin Books.

Prinsip baik, tapi pilih yang lebih muda

Muhammad ketika dihubungi berkata dia menyambut baik cadangan Yusmadi yang disifatkannya sebagai prinsip yang bagus.

Katanya, sudah tiba masanya negeri membuat pembaharuan dengan melantik tokoh daripada kalangan ilmuan yang tiada kepentingan politik.

"Yang Dipertua Negeri ini sepatutnya bukan orang politik, tetapi adalah orang yang lebih melebar, memahami masyarakat dan tidak ada kepentingan parti.

"Apa yang dicadangkan itu sesuatu yang baik dan kalau boleh (lantikan dibuat kepada) ilmuan yang pernah turun kebawah, yang pernah bekerjasama dan menolong masyarakat dan tidak seperti ahli politik, yang bercakap saja hebat.

"Dan saya fikir mereka yang dilantik juga perlu dikalangan yang berusia, tak boleh muda sangat serta bijaksana," katanya.

Bagaimanapun, diminta mengulas kesediaanya memegang jawatan itu, Muhammad berkata lebih baik memilih mereka yang lebih muda daripadanya.

"Saya tak kata saya bersedia, kerana lagi tiga hari usia saya mencecah 79 tahun. Mungkin ambil yang muda," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata rakyat sudah muak dengan politik negara pada hari ini.

"Kita dah letih bermain politik, lebih baik kita membantu manusia, mendorong manusia terhadap pembangunan dan saya kira Yang Dipertua Negeri itu adalah manusia mithali.

"(Dia menjadi) contoh dalam kejayaan, pekerjaan dan sumbanganya. Saya kira prinsip ini baik dan patut diikuti negeri-negeri tak beraja," katanya.