Skip to main
Logo Malaysiakini

Santhara sudah kembali ke Malaysia dari NZ

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar telah pulang dari New Zealand dan sedang menjalani kuarantin kendiri wajib di rumah.

Perkara ini disahkan oleh ahli parlimen Segamat itu ketika dihubungi.

"Saya telah kembali ke Malaysia pada minggu lepas dan sedang menjalani kuarantin wajib yang ditetapkan secara mandatori oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Santhara sebelum ini dikritik pembangkang dan netizen selepas dibenarkan melawat keluarganya yang kini berada di New Zealand, walaupun negara melarang rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara.

Dilaporkan, dia memohon cuti selama 55 hari untuk melawat keluarganya dan berada di sana sejak 23 Disember selepas mendapat kelulusan perdana menteri pada 3 Disember lalu.

Dia berkata tujuannya pergi ke New Zealand untuk melawat anak-anaknya, khususnya seorang anak yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

Selain itu, katanya menjadi tanggungjawab seorang bapa untuk bertemu dengan seorang lagi anaknya yang berusia sembilan tahun.

Apatah lagi setelah hampir setahun tidak berjumpa, jelas Santhara.

Tambahnya, dia juga perlu melawat isteri yang mengalami masalah kesihatan.

Santara juga berkata kerana kesibukan tugasannya sebagai timbalan menteri dan ahli parlimen sebelum ini, dia tidak dapat menghadiri upacara gereja Perjamuan Kudus (Holy Communion), ritual Kristian buat anaknya yang berumur sembilan tahun.

Sementara itu, Santhara berkata dia sedang menjalani kuarantin kendiri selama sepuluh hari dan masih menjalankan tugas dalam talian.

"Pada masa ini, saya menjalankan tugas secara dalam talian melalui platform seperti meeting zoom, aplikasi whatsapp, video call dan lain-lain.

"Justeru itu, semua mesyuarat secara bersemuka atau perjumpaan secara fizikal hanya akan diadakan selepas tempoh kuarantin tamat," katanya lagi.