Skip to main
Logo Malaysiakini

Exco pemuda: Perhimpunan agung Umno bukan medan serang-menyerang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perhimpunan Agung Umno (PAU) seharusnya menjadi medan untuk mengeratkan hubungan antara ahli dan pemimpin, bukannya saling serang-menyerang antara satu sama lain.

Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid, berkata PAU seharusnya menjadi medan untuk menyelesaikan segala kemelut yang melanda dalaman Umno ketika ini.

"PAU sepatutnya menjadi medan untuk mempertautkan hubungan antara ahli dan kepimpinan Umno.

"Jika ada perkara berbangkit ini lah medannya untuk kita menyuarakan pandangan mengikut saluaran yang betul, bukannya menjadi medan untuk serang menyerang antara satu sama lain.

"PAU bukan lah untuk dijadikan medan menyerang peribadi mana-mana pihak ataupun kepimpinan parti. Kita sepatutnya lebih fokus kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," katanya kepada Malaysiakini.

PAU kali ini akan berlangsung secara norma baru apabila buat pertama kalinya ia diadakan secara bersemuka dan dalam talian ketika negara berdepan wabak Covid-19.

Tumpuan pastinya terarah kepada keputusan Umno menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu sebaik PRU15 bermula.

Keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno itu mendapat tentangan beberapa pemimpin Umno, khususnya yang berada dalam kerajaan.

Ia juga menyaksikan Presiden Umno, Ahmad Zahidi Hamidi berdepan dengan "serangan" pemimpin parti itu yang menentang keputusan berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub pula berharap agar permasalahan parti itu berakhir selepas berakhirnya PAU 28 Mac nanti.

"Harapan saya selepas PAU pada 28 Mac nanti maka akan berakhirlah semua masalah yang melanda Umno dan kembali kepada penyatuan bagi menghadapi PRU-15," katanya.

Jelasnya, Umno mempunyai agenda yang lebih besar iaitu untuk menghadapi PRU15 dan memastikan parti itu kembali menerajui kerajaan.