Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan: Perempuan 7 tahun mangsa termuda konflik di Myanmar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

GLOBAL | Kemelut yang tercetus akibat rampasan kuasa tentera di Myanmar menyaksikan korban termuda yang diketahui setakat ini - seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Menurut Reuters yang memetik Myanmar Now, Khin Myo Chit terkorban selepas tentera cuba menembak bapanya di rumah mereka di Mandalay, Selasa lalu.

Menurut laporan itu, tembakan tentera yang menyasarkan bapanya terkena kanak-kanak itu yang ketika itu duduk di ribanya.

tentera kemudian dilaporkan menyerbu rumah keluarga tetapi mereka telah lari kerana bimbang jenazah kanak-kanak itu dirampas.

"Kami lari sebab takut mereka akan datang dan ambil mayatnya," kata seorang ahli keluarga.

Khin Myo Chit dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Islam dan dihadiri hanya beberapa ahli keluarga terdekat.

Di Yangon, junta tentera dilaporkan membebaskan ratusan orang yang ditahan ketika protes membantah rampasan kuasa, pada Rabu lalu.

Peguam dan saksi lain berkata beberapa bas yang dipenuhi tahanan dilihat keluar daripada Penjara Insein.

Antara yang dibebaskan adalah wartawan The Associated Press, Thein Zaw yang ditahan bulan lalu.

"Semua yang dibebaskan adalah mereka yang ditangkap kerana protes, serta mereka yang ditangkap pada waktu malam atau yang keluar untuk membeli barang," kata seorang ahli kumpulan penasihat undang-undang seperti dipetik.

Menurutnya, kira-kira 15 buah bas membawa tahanan keluar dari penjara.

Sebab pembebasan mereka belum jelas. Pihak berkuasa masih belum memberi kenyataan dan jurucakap tentera ketika dihubungi tidak menjawab panggilan, menurut Reuters.

Menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP), sekurang-kurangnya 2000 telah ditahan akibat protes yang tercetus selepas rampasan kuasa tentera pada 1 Feb lalu. Sekurang-kurangnya 275 orang telah terbunuh, kata kumpulan itu.

[Baca berita asal]