Skip to main
Logo Malaysiakini

Isma juga mahu RCI siasat 'kartel polis'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menjadi kumpulan terbaru yang menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat mengenai isu kartel dalam polis seperti didedahkan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Menurut timbalan presidennya, Ahmad Kamsani Samingan, isu itu sangat membimbangkan memandangkan bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan juga mengakui ada "polis yang melakukan kesalahan."

“Kita tidak boleh berkompromi dengan mereka yang menyeleweng dengan kartel serta tidak ikut peraturan..Dulu sewaktu era saya sebagai KPN, saya cuba untuk lakukan perkara sama (ambil tindakan kepada pegawai tak ikut peraturan), namun tidak kesampaian.

"Kontrak saya ditamatkan sebelum sempat bersihkan sepenuhnya PDRM daripada pegawai-pegawai tidak bertanggungjawab," kata Musa seperti dipetik Sinar Harian 23 Mac lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Kamsani berkata jika dakwaan itu benar-benar berlaku, ia harus dicantas bukan sahaja pada peringkat bawahan tetapi di pihak atas.

“[...] Bagi memastikan PDRM terus menjadi badan yang berintegriti, Isma menggesa untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan wujudnya kartel PDRM ini,” katanya.

Ahmad Kamsani

Terdahulu, Abdul Hamid mendedahkan wujudnya kartel serta amalan menerima rasuah daripada sindiket jenayah, yang turut membabitkan peringkat atasan PDRM.

Kartel yang dikatakan terdiri daripada anggota polis muda yang bersekongkol untuk menyingkirkannya, turut dikatakan bercita-cita untuk menguasai pasukan polis untuk kepentingan peribadi.

Pendedahan itu mencetuskan pelbagai reaksi, antaranya oleh ahli politik pembangkang, menteri dalam negeri sendiri, serta badan peguam yang turut meminta RCI ditubuhkan.

Jika tidak dibanteras, kata Isma, ia dibimbangi akan mempengaruhi siasatan dan tangkapan kes jenayah berat seperti dadah, pelacuran dan pemerdagangan manusia.

“Isma juga tidak mahu wujudnya sikap berdiam diri oleh masyarakat awam gara-gara takut jika diugut sekiranya membuat laporan polis berhubung kegiatan jenayah berat melibatkan penjenayah yang dilindungi kartel PDRM ini.

“[...] PDRM seharusnya menjadi badan yang bebas daripada pengaruh luar dan politik wang supaya kekal menjadi badan kepercayaan orang awam,” katanya lagi.

Pada 21 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkat tiada keperluan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat perkara itu kerana ia boleh dikendalikan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Abdul Hamid pula berkata dia yakin dapat menangani perkara itu tetapi terpulang kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin sama ada ingin membawanya kepada SPP atau tidak.