Skip to main
Logo Malaysiakini

Majlis kahwin punca kluster baru libatkan guru, murid di Ketereh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Majlis perkahwinan menjadi punca tercetusnya kluster baru Covid-19 di Kelantan iaitu kluster Paloh Rambai membabitkan daerah Kota Bharu dan Bachok, hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, kes indeks bagi kluster itu merupakan seorang wanita berusia 57 tahun.

Katanya individu itu dikesan melalui saringan bergejala pada 18 Mac dan disahkan positif Covid-19 pada 19 Mac lalu.

"Kes telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Putik untuk rawatan lanjut.

"Seramai 20 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini yang melibatkan daerah Kota Bharu dan Bachok. Kes dalam kluster ini terdiri daripada guru, kakitangan dan murid di beberapa sekolah dan ahli keluarga rapat mereka," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan media harian memamklumkan sebanyak 63 kes baru Covid-19 di Kelantan.

Semalam Malaysiakini melaporkan sebuah sekolah di Ketereh terpaksa ditutup selepas 11 guru dan seorang pelajar didapati positif Covid-19. 

Sementara itu Izani mengesahkan punca penyebaran kluster itu adalah dari majlis perkahwinan anak kes indeks yang diadakan pada 13 Mac lalu.

Katanya, usaha mengenal pasti kontak rapat masih giat dijalankan oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu dan PKD Bachok.

"Suka saya ingat sekali lagi kepada semua rakyat Kelantan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) majlis sosial.

"Sekiranya tidak dapat dipatuhi, sila tangguhkan dahulu majlis kenduri yang dirancang. Kita masih belum menang," katanya.