Skip to main
Logo Malaysiakini

Langkah SPR menghina parlimen, kata MP pembangkang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sembilan ahli parlimen hari ini mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan meletakkan jawatan ekoran tertangguhnya pelaksanaan Undi 18 serta pendaftaran automatik pemilih.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan malam ini mereka berkata keputusan dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) petang tadi merupakan penghinaan besar terhadap Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya keputusan SPR itu," kata mereka.

Berdasarkan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, kata ahli parlimen terbabit, jemaah menteri dinyatakan perlu bertanggungjawab secara bersama kepada parlimen.

Justeru kata mereka langkah diambil SPR itu merupakan kegagalan bersama jemaah menteri.

"Perlu diingatkan bahawa Muhyiddin dan Takiyuddin adalah antara 211 ahli parlimen yang telah bersama-sama meluluskan pindaan berkenaan.

"Oleh itu Muhyiddin dan Takiyuddin perlu meletakkan jawatan segera," katanya.

Sembilan ahli parlimen yang membuat kenyataan tersebut ialah Fahmi Fadzil (Lembah Pantai - PKR), Steven Sim (Bukit Mertajam - DAP), Khalid Samad (Shah Alam - Amanah), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar - Muda), Azis Jamman (Sepanggar - Warisan), Mukhriz Mahathir (Jerlun - Pejuang), Wilfred Madius Tangau (Tuaran - Upko), Baru Bian (Selangau - PSB) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam - Bebas).

Petang tadi SPR memaklumkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik pemilih tidak dapat dilaksanakan sehinggalah selepas Sept 2022. Badan pengendali pilihan raya itu menyatakan perintah kawalan pergerakan (PKP) membantutkan proses persediaan berkenaan.

Untuk rekod sebelum ini Takiyuddin pernah memaklumkan pelaksanaan pembaharuan pilihan raya yang diusahakan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dijangka menjadi kenyataan selewat-lewatnya Julai ini

Dengan pengumuman terbaru SPR hari ini, pengundi muda yang berusia di antara 18 hingga 20 tahun hanya akan dapat mengundi jika pilihan raya umum (PRU) diadakan pada 2023.

Pada masa sama banyak pihak meramalkan PRU ke-15 akan diadakan seawal hujung tahun ini. Mengikut peruntukan perlembagaan sebelum ini, warganegara yang layak mengundi hanyalah individu yang berusia sekurang-kurangnya 21 tahun.

Sementara itu Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata parti itu - seperti kenyataan dikeluarkan pimpinannya - juga tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh SPR.

"Kita (Umno) tak setuju sebab perkara ni patut dihormati (kerana ia) adalah apa yang sudah diundi (dan diluluskan) dalam parlimen sebelum ini," katanya.