Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan digesa utamakan guru bagi vaksinasi Fasa 2

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Putrajaya digesa mengutamakan guru bagi vaksinasi Fasa 2.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching mengatakan ini perlu kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 41 kluster Covid-19 berkaitan institusi pendidikan dikesan sejak Jan.

Teo berkata negara tidak mampu menutup semula institusi pendidikan, justeru, kerajaan perlu mengambil langkah sewajarnya.

"Sebanyak 41 kluster yang melibatkan 2,228 kes akan menghalang ibu bapa menghantar anak mereka dan menimbulkan banyak persoalan keselamatan.

"Ibu bapa perlu diyakinkan bahawa langkah-langkah yang sewajarnya diambil untuk melindungi anak-anak sebelum anak-anak dibenarkan kembali ke sekolah," kata Teo.

KKM sebelum ini memaklumkan, daripada 41 kluster itu, sebanyak 15 kluster melibatkan pusat pengajian tinggi, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster prasekolah dan sekolah rendah serta lima kluster pusat tahfiz dan madrasah yang telah dilaporkan dalam tempoh hampir tiga bulan itu.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Teo, yang merupakan bekas timbalan menteri pendidikan, mengatakan bahawa meskipun sebanyak 55,539 guru di sekolah awam yang mempunyai morbiditi termasuk dalam fasa pertama program imunisasi, ada guru di sekolah lain yang dikendalikan oleh kerajaan yang juga memerlukan vaksinasi.

Ini termasuk Institusi Genius, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Negeri, Maktab Rendah Mara, Kolej Tentera Diraja dan sekolah swasta.

"Saya harap ketika Khairy Jamaluddin membuat pengumuman pada hari Isnin, semua guru, sama ada di sektor kerajaan atau swasta, akan diutamakan kerana mereka dan pelajar mereka akan terdedah kepada tahap risiko yang sama," kata Teo.

Malaysia kini berada di Fasa 1 program imunisasi yang menyasarkan 500,000 petugas barisan hadapan.

Fasa 2 akan bermula pada April, melibatkan 9.4 juta orang, terutamanya mereka yang berumur 60 tahun ke atas atau mereka yang dianggap berisiko tinggi.