Tangguh Undi18: Kumpulan anak muda mahu 'seret' kerajaan ke mahkamah
Persatuan Pengundi Muda yang menggerakkan kempen hak Undi18 merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia.
Ini berikutan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa pendaftaran Undi 18 dan pemilih automatik hanya akan dilaksanakan selepas September tahun depan.
Persatuan Pengundi Muda berkata tindakan SPR itu berkemungkinan akan menyebabkan 1.2 juta orang warga negara Malaysia yang berumur 18 hingga 20 tahun tidak dapat memilih pada pilihan raya umum ke-15 akan datang jika ia diadakan tahun ini.
Kata kumpulan itu, tindakan SPR telah menafikan hak golongan muda berusia 18 tahun untuk mengundi.
“Sudah hampir dua tahun sejak undang-undang itu diluluskan oleh parlimen.
"Sepatutnya tidak ada alasan bagi kerajaan Malaysia untuk menangguh pelaksanaan penurunan usia mengundi,” katanya.
Persatuan Pengundi Muda akan memfailkan tuntutan di mahkamah terhadap kerajaan Malaysia pada hari Jumaat depan (2 April).
“(Persatuan Pengundi Muda) akan memastikan kerajaan bertanggungjawab ke atas janji yang dibuat mereka.
"Oleh itu kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan mereka berusia 18 hingga 20 tahun untuk mendaftar sebagai pemilih.
“Tindakan undang-undang ini bakal difailkan pada 2 April 2021,” kata persatuan berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, pengasas bersama kumpulan Persatuan Pengundi Muda, Qyira Yusri (gambar, atas) ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya mengesahkan akan memfailkan permohnan semakan kehakiman.
"Ini adalah semakan kehakiman atas kegagalan kerajaan melaksanakan era pengundian baharu dan pendaftaran pengundi automatik," katanya.
Persatuan Pengundi Muda akan diwakili oleh peguam New Sin Yew.
Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan agar Undi18 dilaksanakan pada tahun 2019.
Sebelum ini, SPR berkata pihaknya menangguhkan pelaksanaan pendaftaran Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik hingga September tahun depan, meskipun Menteri Undang-Undang, Takiyuddin Hassan mengatakan ia akan dilaksanakan pada Julai.
SPR berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) telah menjejaskan persiapan untuk menurunkan had usia mengundi.
Pengkritik bagaimanapun berpendapat tiada sebab bagi sistem pendaftaran pemilih sedia ada tidak boleh diperluas kepada mereka yang berusia 18 tahun.
Bawah sistem semasa, mereka yang berumur 21 tahun ke atas boleh mendaftar sebagai pemilih secara manual, seperti di pejabat pos, atau melalui laman web Daftar MySPR.
Menurut SPR, terdapat kira-kira 1.2 juta golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun.
Mengulas lanjut Persatuan Pengundi Muda berpendapat alasan yang diberikan SPR tidak boleh diterima.
"Alasan SPR tidak dapat diterima kerana golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun harus diberi hak untuk memilih dan telah mendaftar sebagai pemilih dengan cara konvensional," katanya.
SPR diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri.
Penangguhan pelaksanaan Undi 18 oleh SPR itu mendapat kritikan hebat daripada kedua-dua belah pihak pembangkang dan kerajaan.
Esok, satu bantahan aman mengikut SOP kesihatan PKP akan berlangsung di hadapan bangunan parlimen bagi membantah keputusan SPR itu.
Laporan tambahan oleh ANNABELLE LEE.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai